Trend Anak Muda Muak Dengan PH Masih Jelas – Shahril

PEKAN, 26 Jun – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan berkata, ‘trend’ rakyat khususnya anak muda yang sudah muak dengan Pakatan Harapan (PH) jelas masih dapat dilihat hingga kini.

Ujar beliau, sikap pemimpin PH yang masih sibuk berebut kuasa menyebabkan rakyat kembali menyokong Barisan Nasional (BN) seperti yang ditunjukkan dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini.

“Kalau kita tengok PRK sebelum PH tumbang, jelas ‘trend’ pengundi muda kembali kepada BN dan Muafakat Nasional pada ketika itu.

“PRK Chini adalah ujian pertama selepas BN menjadi sebahagian daripada kerajaan… adakah pengundi muda kembali menyokong kita bukan hanya kerana protes kepada atau kali ini percaya dan sokong BN itu sendiri.

“Pandangan saya, mengikut ‘trend’ dan riak wajah, kadang-kadang kita pun ada deria politik, saya nampak ‘trend’ itu kekal. ‘Trend’ yang berlaku sebelum 1 Mac lalu sehingga hari ini masih ada iaitu mereka sudah muak dengan politik PH. Bukan hanya tidak tunai janji tetapi sekarang pun… enam bulan nak serah balik, seorang nak jadi Perdana Menteri, seorang tak nak sokong, sekarang sokong balik.. jadi perkara sebegini orang muda khususnya sudah bosan,” ujar beliau kepada media selepas menyertai program memperkenalkan calon di Pusat Daerah Mengundi Salong, Kampung Mempelas di sini hari ini.

Tambah Shahril, anak muda hendak melihat apa perancangan yang ditawarkan oleh kedua-dua belah pihak.

“BN pun tidak sempurna, jadi kita pun nak kena tawarkan sesuatu tapi sekurang-kurangnya kita ada kesatuan tersebut.

“Intipati dalam kerajaan hari ini nampak ada kesatuan, ada pakej ekonomi dan apa kita nak laksanakan selepas COVID-19, itu menjadi perbualan orang politik sebelah sini… yang sebelah sana siapa nak jadi PM.

“Ini saja membuatkan anak muda sudah tidak ada pilihan, jadi kenalah bagi undi kepada calon BN di PRK Chini,” ujar beliau lagi.

Selain itu Shahril juga menjelaskan bahawa PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini adalah satu hikmah bagi menguji gerak kerja parti dalam norma baru.

“Ini semua eksperimen kepada parti dalam berkempen dengan norma baru. PRK Chini adalah satu hikmah, andaikata PRU berlaku dalam musim COVID-19, sekurang-kurangnya kita sudah ada ‘test case’,” jelasnya. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.