Tidak Timbul Isu Pembubaran Parlimen – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Kerajaan sedia ada sedang berfungsi dan tidak timbul isu pembubaran Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum (PRU) diadakan, tegas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata parti tidak membuat sebarang keputusan mengenai pembubaran Pparlimen dan kini tumpuan diberikan kepada isu dan masalah rakyat.

“Kerajaan sedang berfungsi dengan baik dan pada saya buat masa ini tidak berbangkit soal pembubaran Parlimen sebab kita sudah ada perdana menteri … tidak timbul juga soal ketidakstabilan.

“Saya tengok kerajaan ini adalah mantap, jumlah sokongan semakin bertambah, jumlah kerusi pun makin bertambah sebab ada yang menyeberang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran Kartunis VS COVID-19 di Rumah Kartun dan Komik Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU diadakan berikutan ketidaktentuan politik semasa.

Media melaporkan Mohamad berkata situasi ketidakstabilan politik yang dihadapi sekarang tidak pernah dihadapi sejak negara merdeka.

Tambah Annuar, kenyataan itu merupakan pandangan peribadi Mohamad dan tidak mewakili parti malah Muafakat Nasional mengulangi pendirian menyokong kepimpinan Perdana Menteri kini.

Terdahulu, beliau menyampaikan Anugerah Tokoh Kartunis 2020 kepada Ahmad Hilmy Abdullah, 59, atau lebih dikenali sebagai Mie atas sumbangan dan kecemerlangan dalam bidang kartun dan komik negara.

Mie ketika ditemui pemberita berkata masa lapang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) digunakan bagi menghasilkan lakaran berunsurkan isu semasa iaitu COVID-19.

“Kita gunakan maklumat yang diperoleh untuk membuat lakaran berdasarkan sidang media harian COVID-19 …kita buat dalam bentuk kartun supaya lebih mudah orang faham dan ia lebih ringkas,” katanya.

Pameran Kartunis VS COVID-19 menghimpunkan lebih 100 karya 24 kartunis tempatan dan 11 kartunis dari Singapura dan Indonesia, di Rumah Kartun dan Komik Malaysia bermula hari ini sehingga 31 Ogos. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.