Perdana Menteri Enam Bulan: Shabery Secara Sinis Saran Kit Siang ‘Pujuk’ Anwar Terima

KUALA LUMPUR, 26 JUN – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek secara sinis mencadangkan kepada Penasihat Dap, Lim Kit Siang agar memujuk Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menerima Tun Dr Mahathir untuk menjawat jawatan Perdana Menteri selama enam bulan.

Pada masa yang sama beliau turut mencuit Datuk Seri Anwar yang dianggapnya mungkin serik dengan janji enam bulan setelah sebelum ini janji untuk ‘menobatkan’ Ketua Pembangkang berkenaan sebagai pengganti Tun Dr Mahathir tidak kesampaian berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh Febuari lalu.

Menerusi catatannya di Facebook, dengan menggunakan panggilan ‘uncle’ kepada Penasihat Dap itu, Shabery turut berpandangan elok Kit Siang meminta supaya parlimen dibubarkan bagi membolehkan janji-janji baru dibuat setelah rakyat mungkin lupa janji-janji sebelum ini termasuklah janji 100 hari manifesto PH.

“Kit Siang beri jaminan mereka tak akan tinggalkan Datuk Seri Anwar untuk beri laluan Tun Mahathir jadi PM ke-9. Alasannya hanya Tun Mahathir boleh dapatkan ‘nombor’ dan sokongan Melayu untuk ‘Uncle’ dan parti ‘Uncle’ berkuasa kembali.

“’Uncle’ pujuk Anwar terimalah Tun Mahathir. Janji baru hanya enam bulan je. Anwar pulak dah serik. Dulu pun dah janji. Sekarang nak janji lagi? Sebenarnya rakyat semakin lupa janji-janji itu. Rakyat pun dah lupa janji 100 hari manifesto PH. Rakyat pun dah lupa jasa-jasa PH semasa 22 bulan memerintah.

“Elok ‘Uncle’ mintak supaya Parlimen bubar macam Singapura. Dap ikut PAP. Lagipun COVID Singapura lebih parah dari Malaysia. Dap boleh mula buat manifesto 100 hari baru. Dapatkan mandat baru. Buat cerita baru nak Selamatkan Malaysia. Lepas ni mulakan semula Malaysia Baru yang terbaru. Yang lama… hanyalah ‘Uncle’ dan nama-nama yang ‘Uncle’ suka tadi,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.