Pemuda UMNO Garis Tiga Faktor Penentu Sama Ada Parlimen Wajar Untuk Segera Dibubarkan

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpendirian Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang kembali menjadi topik perbualan hangat ketika ini harus menjadi pilihan terakhir.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, PRU ke-15 harus menjadi pilihan terakhir jika kerakusan dan ketamakan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa tidak dapat dibendung dan negara berterusan berhadapan dengan suasana ketidak-tentuan lantaran krisis politik berpanjangan.

“Sekiranya ketiga-tiga faktor ini tidak dapat dikekang dan dibendung lagi, kerajaan hakikatnya tidak banyak pilihan kecuali menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin-pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang membela nasib mereka dan bukannya sekadar sibuk berebut kuasa,” katanya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Jelasnya, tiga faktor tersebut ialah:

1. Usaha pembangkang khususnya PH yang berterusan mengganggu-gugat kestabilan kerajaan dengan proses ‘horse-trading’ atau ‘jual-beli’ dan tarik-tali di kalangan Ahli-ahli Parlimen untuk meruntuhkan kepimpinan negara yang sedia ada.

2. Kedudukan kerajaan yang rapuh dengan majoriti yang amat kecil membuka ruang-ruang spekulasi dan permainan persepsi sebagaimana yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim yang kononnya sudah memperolehi 129 sokongan Ahli Parlimen.

3. Kerajaan yang berterusan ditohmah dan dipersepsikan PH sebagai ‘kerajaan tanpa mandat rakyat’ akan menghakis keyakinan komuniti pelaburan dalam dan luar negara sekaligus menyukarkan usaha memulihkan ekonomi negara, malah merencatkan perlaksanaan dasar-dasar penting untuk rakyat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.