MOSTI Akan Laksana Projek Perintis Teknologi Robotik Dalam Masa Terdekat

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memulakan projek perintis penggunaan teknologi robotik dalam pelbagai sektor bagi menggantikan tenaga manusia, sekali gus menggurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, projek perintis yang dibangunkan pihak swasta itu akan dimulakan dengan sektor pembuatan dalam masa terdekat.

Katanya, pelaksanaan itu adalah di bawah inisiatif Teknologi dan Inovasi Sandbox Nasional (NTIS) yang digariskan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

“Pelaksanaan ini terutamanya untuk industri yang memerlukan buruh kos rendah, melibatkan pekerja asing… pekerjaan lama akan hilang dan pekerjaan baharu (melibatkan digital) akan wujud,” katanya semasa ditemubual dalam program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM, hari ini.

Selain itu, Khairy berkata MOSTI juga akan mempercepatkan pelaksanaan ladang pintar bagi menjamin tahap keselamatan makanan negara sekali gus mencapai tahap sara diri yang lebih baik.

“Dalam tempoh (penularan) COVID-19 ini misalnya, kita risau tidak dapat import makanan dan sebagainya, tahap sara diri kita dalam beberapa (jenis) makanan masih lagi rendah.

“Antara teknologi berkaitan yang akan diteroka adalah teknologi sensor, Internet pelbagai Perkara (IoT) dan seumpamanya,” katanya.

Justeru, kerajaan sedang giat menaik taraf infrastruktur liputan jalur lebar di seluruh negara bagi mencapai matlamat itu

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Rembau itu berkata pihaknya juga akan memperhebatkan inisiatif dalam memberi kesedaran serta pengetahuan digital berkenaan transaksi tanpa tunai kepada masyarakat terutamanya di luar bandar.

“Matlamat kita hendak menjadi masyarakat tanpa tunai atau negara tanpa tunai, jadi kita kena pastikan (transaksi tanpa tunai menjadi kebiasaan) bukan sahaja di bandar tetapi di seluruh negara.

“Peniaga termasuk dari perniagaan mikro telah ke arah itu (transaksi digital), jadi ia perlu seiring dengan pengguna juga… saya mahu lihat e-dompet menjadi kebiasaan pembayaran di pasar tani,” katanya yang juga bercadang untuk menjadikan Rembau sebagai kajian kes.

Penubuhan NTIS diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pembentangan PENJANA pada 5 Jun lepas, dan diterajui MOSTI dalam usaha melengkap proses digitalisasi negara. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.