BN Bantu Rakyat, PH Pula Suruh Rakyat Ikat Perut – Najib


PEKAN, 26 Jun – Rakyat Malaysia sudah merasai 22 bulan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kononnya satu pengharapan baharu tetapi akhirnya berkesudahan dengan kekecewaan yang amat sangat, ujar Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan membela rakyat sebaliknya apa yang berlaku pemimpin utama PH menyuruh rakyat ‘mengikat perut’.

“Bantuan-bantuan dikurangkan. Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang kita janji RM2 ribu bagi mereka yang layak telah dikurangkan, bilangan juga dikurangkan.

“Kalau zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah dulu hampir enam juta dapat BR1M, zaman PH lebih kurang tiga juta sahaja dan jumlahnya tidaklah RM2 ribu tapi dalam kadar seribu sahaja,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran dan Penyerahan Borang Ibu Tunggal DUN Chini di Dewan Semai Bakti Chini 5, di sini, Khamis petang.

Tambah Ahli Parlimen Pekan itu lagi, bantuan BR1M merupakan satu contoh bagaimana beza antara BN dan PH menjaga kebajikan rakyat.

“Itu satu contoh, banyak lagi. Kalau kita tengok Felda waktu saya jadi menteri Felda, dapat macam-macam sehinggakan orang di kampung tradisional kata orang Felda jadi anak emas saya.

“Tapi itu semua sumber datang dari Felda sebab kita telah menguruskan Felda dengan baik, ada punca-punca pendapatan melalui penyenaraian FGV umpamanya dan duit keuntungan diserahkan kembali kepada peneroka-peneroka.

“Contoh lain umpamanya pinjaman perumahan RM40 ribu tanpa faedah. Itu satu rahmat kepada kita. Sebab itulah kalau kita masuk rancangan Felda ia tidak serupa asal sebab banyak berubah,” kata Pengarah Operasi BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini itu lagi.

Manakala PH hanya berjanji kosong tetapi tidak pernah dipenuhi dan kerana itulah tegas Najib mereka yang bersekutu dengan PH perlu ditolak, termasuklah calon Bebas yang bertanding di PRK Chini yang disokong bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Justeru Najib menyeru pengundi memilih calon BN, Mohd Sharim Md Zain atas keyakinannya bahawa anak peneroka Felda itu mampu menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan sebaiknya.

PRK DUN Chini ini BN menampilkan Mohd Sharim Md Zain, 41, generasi kedua Felda Chini 3 yang merupakan Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan serta pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan.

Mohd Sharim yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat dicabar dua lagi calon Bebas. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.