ASEAN Perlu Rangka Pelan Padu Tingkat Pelaburan, Wujud Peluang Pekerjaan – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 26 Jun – Kerajaan-kerajaan ASEAN perlu merangka satu pelan yang padu bagi melaksanakan dengan segera langkah-langkah atau “travel bubbles” antara negara-negara yang ‘hijau’ (jangkitan rendah) di tengah-tengah pandemik COVID-19 bagi meningkatkan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kemungkinan dalam masa terdekat, rantau ini juga boleh membukakan sempadan bagi pelancongan antara-ASEAN untuk merancakkan dan menyediakan rangsangan kewangan yang amat diperlukan oleh ekonomi,

“Krisis kesihatan awam itu telah memberi kesan yang amat besar kepada ekonomi dan usaha memulihkan semula ekonomi serantau perlu menjadi keutamaan utama kita untuk mengurangkan gangguan kepada perdagangan dan mengukuhkan ketahanan rantaian bekalan serantau,” katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 yang diadakan secara maya, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc. Vietnam merupakan pengerusi ASEAN bagi 2020.

“Malaysia merasakan amat perlu bagi kerajaan-kerajaan kita untuk merangka pelan padu bagi melaksanakan dengan segera langkah-langkah atau “travel bubbles” antara negara-negara ASEAN yang ‘hijau’ (jangkitan rendah COVID-19) untuk meningkatkan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat kita,” kata Muhyiddin.

Seperti yang dicadangkan Malaysia pada April, ASEAN perlu merangka Pelan Pemulihan Ekonomi Serantau, tegas perdana menteri: “Jika kita tidak melindungi ekonomi serantau kita, jurang pertumbuhan yang semakin melebar dalam kalangan negara ASEAN boleh menjejaskan objektif kita mencapai penyepaduan ekonomi yang lebih kukuh.”

Rantau ini perlu bertindak pantas dan tegas dalam menyelaraskan tindak balas peringkat serantau bagi menjana semula ekonomi, katanya, sambil menambah,” Tindak balas yang diselaraskan dengan baik akan memastikan kita bangkit bersama-sama daripada krisis ini, seperti bagaimana kita mengharungi krisis sebelum ini.”

Muhyiddin juga berkata bersama-sama rakan anggota ASEAN lain, Malaysia akan turut berusaha untuk memuktamadkan dan memeterai Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) tahun ini.

“Malaysia bersedia untuk berbincang dengan India mengenai penyertaan berterusan negara itu dalam RCEP, yang kami percaya akan dapat menyumbang kepada kemakmuran serantau,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.