Sidang Kemuncak Asean Ke-36 Esok Melalui Sidang Video

PUTRAJAYA, 25 Jun – Sidang Kemuncak ASEAN ke-36 buat julung kalinya diadakan secara maya apabila pemimpin-pemimpin ASEAN bersidang melalui persidangan video esok bagi membincangkan isu-isu serantau dan pasca-COVID-19.

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu akan diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan menyampaikan ucapan bagi menyuarakan pendirian-pendirian Malaysia kepada rakan-rakan ASEAN.

Sidang kemuncak itu akan dipengerusikan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Xuan Phuc, yang juga Pengerusi ASEAN 2020.

“Saya akan bertemu perdana menteri untuk berkongsi pandangan kepada beliau berhubung perkara yang perlu dan boleh disuarakan Malaysia semasa sidang kemuncak itu nanti berdasarkan kepada input yang diperoleh dalam siri mesyuarat saya bersama menteri-menteri luar ASEAN semalam,” katanya.

Dalam sidang media di sini, hari ini, Hishammuddin berkata antara agenda utama sidang kemuncak itu adalah meneliti isu serantau dan antarabangsa terutama pascapandemik COVID-19. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.