Puteri UMNO Mahu Tenaga Kerja Tempatan Diberi Peluang


KUALA LUMPUR, 25 Jun – Pergerakan Puteri UMNO memohon pihak kerajaan melalui kementerian-kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta kerjasama pihak swasta agar dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan baru bagi membantu tenaga kerja tempatan terutamanya golongan muda.

Kata ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berharap majikan-majikan yang sebelum ini menggunakan khidmat pekerja warga asing boleh membuat tawaran dan membuka peluang kepada tenaga kerja anak tempatan.

“Kekurangan tenaga kerja warga asing akhir-akhir ini memberi kesan kepada sektor tertentu untuk beroperasi semula, namun disebalik masalah itu, jika dipandang dari sudut lain ia merupakan peluang kepada tenaga kerja anak-anak tempatan merebut kekosongan yang ada,” katanya dalam kenyataan menerusi facebooknya hari ini.

Ujarnya, kadar pengangguran kini sudah menjadi kritikal apabila melonjak 3.9% pada Mac 2020 daripada purata 3.2% sebelum dunia dilanda wabak COVID-19 dan lebih mencabar ialah jumlah penganggur pada Mac meningkat hampir 17.1% kepada 610,500 orang berbanding 521,300 orang pada bulan sama tahun lalu.

“Menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kelestarian rakyat dan memastikan rakyat dapat menjana pendapatan dalam era serba mencabar hari ini.

“Kita tidak ada jalan lain selain mengurangkan pekerja warga asing dan digantikan dengan pekerja tempatan.”

Ini kerana katanya lagi, kerajaan telah menyediakan dana yang besar dalam melatih anak tempatan bagi mengambil alih kerja-kerja yang sebelum ini dimonopoli oleh pekerja warga asing. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.