Anak Muda Dah Bosan, Tun M Dan Anwar Wajib Bersara Dari Dunia Politik

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Kamarudin berkata, anak muda sudah mula bosan melihat Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlalu rakus dan gila mengejar kuasa.

Jelas beliau, sepatutnya dua individu ini sudah wajib bersara dari dunia politik negara sebelum anak muda semakin meluat dan bosan dengan pentas politik negara.

“Kedua-dua individu ini seakan tidak dapat menerima hakikat bahawa rakyat terutama orang Melayu gembira apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang. Kerajaan gabungan PH tumbang kerana tindakan dan desakan agar Tun Mahathir serahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim, ini hakikatnya.

“Sepanjang 22 bulan negara di bawah pentadbiran PH, rakyat dapat melihat dengan jelas PH hanya mementingkan soal perebutan kuasa dan jawatan perdana menteri maka suka atau tidak, rakyat mulai rasa selesa dan dilihat memberikan kepercayaan kepada Perikatan Nasional (PN),” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Bertambah malang ulas Shahrul, Tun dan Anwar serta PH Plus masih tidak berhenti bermain politik ketika kepimpinan kerajaan PN bertungkus-lumus berdepan pandemik COVID-19.

“Tun Mahathir haru sedar, dia tidak lagi boleh mengulangi skrip yang digunakan bagi menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Skrip itu sudah tidak laku lagi di kalangan orang Melayu khususnya anak muda. Tun Mahathir dan Anwar perlu sedar dan tahu yang orang Melayu telah melihat mereka berdua sebagai orang tua yang gila kuasa.

“Selain itu, Anwar juga dianggap sebagai ahli politik yang paling naif dalam negara kerana setelah dua kali dikenakan oleh Tun Mahathir, dia masih mahu bekerjasama dan melantik Tun Mahathir sebagai menteri mentor,” ujar beliau lagi. – UMNO ONLINE

Oleh: Azlina Rosdy

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.