Selamat Kembali Ke Sekolah, Terima Kasih Guru-guru Penuhi SOP Norma Baharu – Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Sesi persekolahan melibatkan pelajar yang mengambil peperiksaan awam dimulakan semula hari ini selepas hampir tiga bulan sekolah diarahkan tutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan penghargaan dan berterima kasih kepada guru-guru yang telah melakukan pelbagai persediaan bagi memenuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam norma baru di sekolah.

Katanya, beliau sangat terkesan melihat guru-guru yang bersemangat kembali ke sekolah.

“Ada yang sudah mula menyusun kerusi, meja dan melekat tanda di lantai bagi memenuhi SOP kementerian dalam menghadapi norma baharu. Ini semua demi menjaga kebajikan dan keselamatan anak-anak kita.

“Terima kasih cikgu dan selamat kembali bertugas. Pengorbanan kalian amat besar dan tidak dapat kami balas,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Dalam hal yang sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut mengucapkan selamat kembali ke sekolah untuk anak-anak pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM.

“Tidak dilupakan juga kepada rakan-rakan guru, selamat bertugas. Dalam keseronokan bertemu semula guru-guru dan rakan-rakan, SOP hendaklah sentiasa dipatuhi. Jaga jarak, gunakan penutup hidung dan mulut serta kerap basuh tangan menggunakan sabun atau hand sanitiser,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Padang Terap.

Dilaporkan, antara SOP pembukaan semula sekolah yang ditetapkan kerajaan adalah pemeriksaan suhu setiap hari bagi murid, guru dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah iaitu mereka dengan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah dan aktiviti di luar bilik darjah, seperti sukan dan kokurikulum secara bersemuka tidak dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.