PRK DUN Chini: Terima Kasih PAS Atas Komitmen Beri Sokongan Padu – SUA UMNO


PEKAN, 24 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kepimpinan PAS atas komitmen mereka memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) bagi memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

“Alhamdulilah syukur kerana PAS berhasrat untuk memberikan sokongan padu. Saya bertemu dengan Yang Dipertua PAS kawasan Ustaz Fadhil di kediaman Datuk Seri Najib pada minggu sudah dan beliau memberikan komitmen yang jitu.

“Saya gembira mendengar itu kerana PAS ada lima ribu undi, kita ada sepuluh ribu undi dan kalau dijumlahkan, ada belasan ribu undi dan ini satu petanda baik Muafakat Nasional,” katanya kepada UMNO Online.

Oleh kerana itulah juga katanya pada PRK DUN Chini BN menggunakan tema Muafakat Demi Kestabilan.

“Kerana perkataan muafakat itu sendiri menggambarkan muafakat antara PAS UMNO dan kalau ada sedikit sebanyak penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk kita menghadapi PRK ini,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, sejak PRK Parlimen Cameron Highlands, PAS telah memberikan sokongan penuh kepada BN dalam siri-siri kempen PRK hingga mencapai kemenangan.

Baik pemimpin dari peringkat pusat hinggalah di akar umbi, dari Dewan Ulama dan Majlis Syura, Assabiqun, Muslimat, Pemuda mahupun Ameerah yang memberi sokongan penuh kepada BN.

Kelmarin, Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Chini, Haji Sarjuni Konting yang mewakili PAS kawasan menyatakan komitmen memberi sokongan padu kepada calon BN, Mohd Sharim Md Zain di dalam PRK DUN Chini ini.

Mohd Sharim, 41, generasi kedua Felda Chini 3 yang juga Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan dicabar penentangnya dari dua calon bebas.

Mohd Sharim juga merupakan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat dan pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.