PRK Chini: Calon BN Punyai Kelebihan Untuk Bantu Rakyat


PEKAN, 24 Jun – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Mohd Sharim Md Zain dilihat mempunyai kelebihan untuk membantu penduduk setempat jika dipilih sebagai wakil rakyat kawasan itu.

Menurut Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Mohd Sharim mempunyai tiga faktor yang boleh menjadikan beliau pilihan pengundi berbanding dua calon Bebas yang turut sama bertanding.

Katanya faktor pertama adalah pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan berusia 41 tahun itu mewakili golongan belia dan boleh menjadi jambatan kepada generasi lebih berusia.

“Beliau mewakili kumpulan muda yang boleh menjadi jambatan kepada generasi lama. Bererti umur 41 boleh jadi jambatan antara umur 21 sampai 40, dan 40 tahun sehingga umur 70,” katanya kepada pemberita ketika mengiringi Mohd Sharim dalam sesi ‘walkabout’ di Bandar Dara dekat sini, hari ini.

Faktor kedua, katanya Mohd Sharim mewakili golongan peneroka Felda yang menjadi sebahagian besar pengundi di DUN Chini.

“Beliau mewakili generasi Felda. Kita (DUN Chini) tiga penggal dua tahun di bawah Allahyarham (Datuk Seri Abu Bakar Harun yang juga) peneroka Felda.

“Ketiga, adalah di belakangnya ada dua kerajaan yang boleh membantu membangunkan lagi Chini iaitu kerajaan negeri dan kerajaan Pusat. Calon Bebas dua orang itu tidak ada sebarang kerajaan di belakangnya, jadi hasrat rakyat tidak akan kesampaian jika sokong calon Bebas,” kata Ahmad.

PRK DUN Chini, dengan pengundian pada 4 Julai ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim dan dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Ia diadakan ekoran Abu Bakar, 60, meninggal dunia pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU-11) pada 2004.

Pada PRU-14 lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain daripada PKR sekadar memperoleh 1,065 undi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.