PRK Chini: BN Pelbagaikan Kempen Pastikan Mesej Sampai Kepada Pengundi


PEKAN, 24 Jun – Memasuki hari kelima kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain akan mempelbagaikan bentuk kempennya dalam usaha menarik perhatian penduduk dan pengundi di kawasan DUN itu.

Menurutnya oleh kerana pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menjadikan kempen secara bersemuka agak terhad, jentera BN akan membanyakkan bahan kempen seperti poster dan bendera, selain kempen secara dalam talian yang lebih agresif untuk memastikan mesej calonnya sampai kepada lebih ramai penduduk dan pengundi.

Mohd Sharim, 41, berkata jentera kempen pemuda UMNO dan PAS akan digerakkan bagi membantu proses pemasangan bahan kempen berkenaan.

“Ketika ini pun sudah ada poster dan bendera yang dipasang dan ia akan ditambah secara berperingkat bagi memastikan kempen terus diperhebatkan,” katanya ketika sesi ‘walkabout’ di Bandar Dara dekat sini hari ini.

Beliau berkata kelewatan pemasangan bahan kempen dalam PRK ini berbanding PRK lain sebelum ini adalah kerana pihak jentera parti perlu memastikan aktiviti kempen mereka tidak melanggar SOP ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya ketika ini kempen secara dalam talian yang banyak menggunakan platform Facebook dan Instagram, mendapat maklum balas yang baik, terutama daripada generasi muda.

Mohd Sharim berkata beliau juga yakin jangkaan BN bakal memperoleh 95 peratus undi menerusi Muafakat Nasional, seperti yang dinyatakan Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak, mampu dicapai.

“Bagi saya sebagai calon, saya akan terus berjumpa pengundi untuk memastikan saya memperolehi kepercayaan pengundi selaku wakil peneroka di DUN Chini,” katanya.

Terdahulu, Mohd Sharim meninjau suasana di Sekolah Menengah Kebangsaan Chini 2, yang memulakan sesi persekolahan pada hari ini dan secara kebetulan bertemu dengan calon Bebas Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, di sebuah restoran ketika sesi walkabout.

Pengundian PRK DUN Chini pada 4 Julai ini melibatkan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, Mohd Shukri dan seorang lagi calon bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.