Calon Bebas Bawa Suara Rakyat? Retorik Politik Sahaja – Farid


PEKAN, 24 Jun – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Farid Mohd Nor membidas calon bebas di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini kononnya mahu membawa suara rakyat atas isu-isu yang ditimbulkan.

Tegasnya, dendangan suara rakyat mereka hanyalah retorik politik semata-mata kerana bagi pandangannya Barisan Nasional (BN) selama ini sentiasa berusaha dan berjaya menyelesaikan permasalahan yang melibatkan kepentingan serta kebajikan rakyat.

“Dalam konteks (PRK) Chini ini, bertanding atas tiket bebas membawa suara rakyat itu satu retorik politik kerana kalau kita lihat dari segi rekod perkhidmatan wakil UMNO di DUN Chini ini telah memainkan peranan yang cukup baik membawa hasrat rakyat sama ada mereka yang tinggal di kampung tradisional, Orang Asli mahupun di kawasan-kawasan Felda.

“Kalau kita lihat perkembangan pembangunan di DUN Chini ini, saya kira ia merupakan salah satu DUN yang mempunyai kemudahan infrastruktur yang paling lengkap.

“Felda sendiri cukup jauh berbeza berbanding mula kawasan ini dibuka. Kemudahan kesihatan, pendidikan dan kemudahan pendidikan yang agak tinggi di sini wujudnya sebuah Institut Kemahiran Belia di dalam kawasan Chini ini,” katanya kepada UMNO Online.

Untuk rekod, pihak pembangkang sering memanipulasi isu bekalan air tetapi hakikatnya ia dalam proses pelaksanaan di mana kerja-kerja pembinaan projek kolam takungan hiliran (ORS) Loji Rawatan Air (LRA) Chini akan mula dibina September ini.

Projek yang bakal memberi manfaat kepada lebih 33,000 penduduk di sekitar Felda Gugusan Chini termasuk kampung-kampung tradisional itu tergendala berikutan tindakan kerajaan pusat sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) melambatkan pembinaannya meskipun peruntukan sebanyak RM18 juta telah diluluskan sejak 2017 ketika era pentadbiran Perdana Menteri Keenam, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan.

Seterusnya tambah Farid lagi, jika wujud permasalahan ia adalah berkaitan permasalahan semasa yang ada ketikanya tidak dapat dielak akibat faktor-faktor lain dan tidak dijangka tetapi masih mampu ditangani dengan sebaiknya.

“Jadi masalah yang wujud ialah lebih kepada masalah semasa yang kita tidak boleh elak. Sebagai contoh ada orang cakap masalah bekalan air.

“Kita akui wujud masalah itu tetapi perlu diingat ketika kawasan ini mula-mula dibuka, bekalan air tiada jadi BN yang membangunkan bekalan air.

“Sampai satu masa kemungkinan bekalan air ini tidak mencukupi akibat perubahan alam sekitar, pertambahan penduduk dan sebagainya. Kita memainkan peranan juga dengan membaik pulih dan meningkatkan taraf loji-loji air yang ada di kawasan Chini,” tambah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lipis itu.

Justeru itu katanya proses pembangunan dan menaik taraf fasiliti merupakan satu proses berterusan yang diusahakan oleh kerajaan BN.

“Daripada tiada, diwujudkan dan apabila telah wujud kita hendak pastikan ia mampu menampung keperluan semasa penduduk di sini.

“Mungkin cuma kadang-kadang ada perkara yang tidak dapat kita elak, agak lewat dan sebagainya.

“Perkara itu bukan kita tidak ambil tahu dan perhatian tetapi proses untuk mendapatkannya memerlukan kajian, sebagai contohnya memerlukan peruntukan yang tinggi jadi usaha-usaha itu terus kita laksanakan,” katanya.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian biasa pada 4 Julai dan pengundian awal pada 30 Jun ini manakala hari penamaan calon pada Sabtu lalu.

BN, yang menampilkan Mohd Sharim Md Zain sebagai calonnya ditentang dua lagi calon dari parti bebas.

Mohd Sharim, 41, generasi kedua Felda Chini 3 merupakan Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan selain Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat.

Pelbagai pengiktirafan dan kejayaan telah diperolehinya sepanjang penglibatan aktif dalam belia, termasuklah pernah dinobatkan sebagai Duta TN50 Felda Wilayah Kuantan. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.