TNB Kembalikan Dividen, Keuntungan Kepada Rakyat, Kerajaan

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Kritikan bahawa Tenaga Nasional Bhd (TNB) bermotifkan keuntungan semata-mata mungkin ada kebenaran.

Hakikatnya, syarikat tenaga itu telah memberi semula kepada rakyat menerusi pembayaran dividen yang besar kepada kerajaan, yang dibelanjakan kembali dalam bentuk peruntukan pembangunan kepada rakyat.

Pembangunan itu adalah selain daripada sejumlah projek komuniti yang diwujudkan TNB untuk membantu rakyat dalam pelbagai bidang termasuk sektor sosial, ekonomi serta sukan.

Sememangnya amat dimengerti ketika ini rakyat tidak gembira menerima bil elektrik yang melambung tinggi apabila penggunaan pelanggan domestik melonjak sebanyak 20 hingga 50 peratus semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Menyedari bebanan kewangan yang ditanggung rakyat, kerajaan bersama-sama TNB mengumumkan bantuan tambahan minggu lepas, Bantuan Prihatin Elektrik.

Justeru, ini akan memberi manfaat kepada 7.66 juta pengguna dalam kategori domestik dan kediaman di Semenanjung Malaysia termasuk empat juta pengguna yang akan menikmati bekalan elektrik secara percuma selama tiga bulan.

Langkah yang diperkenalkan itu adalah selain daripada potongan berterusan yang diberikan sejak April, yang akan ditunjukkan menerusi bil pengguna pada Julai.

Sebagai syarikat senaraian awam berstatus saham mewah di Bursa Malaysia dan berkedudukan kedua dalam kalangan 10 syarikat teratas, sudah pasti TNB bukanlah monopoli yang diurus dengan teruk.

Kecaman sedemikian adalah melulu.

Tidak tepat untuk mengatakan tarif tenaga itu tidak prihatin terhadap nasib rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19 seperti dakwaan mereka bahawa TNB sepatutnya menurunkan tarif tersebut apabila harga minyak mentah susut.

TNB telah berkongsi keuntungannya dengan kerajaan dan rakyat selama hampir 71 tahun, sejak ia wujud.

Tidak dapat disangkalkan sama sekali bahawa berasaskan rekod prestasi kewangannya, TNB merupakan syarikat utiliti yang diuruskan secara profesional.

Infrastruktur dan warga kerjanya melebihi 35,000 orang telah membantu menyokong pembangunan negara menerusi penyediaan tenaga untuk pengoperasian industri, perniagaan dan ekonomi di samping memberi gemerlap cahaya kepada kediaman selama 71 tahun.

Berdasarkan struktur tarif yang ditetapkan oleh pihak berwajib, TNB berupaya mengembalikan keuntungan sebagai perbelanjaan modal, dividen dan pulangan kepada kerajaan serta projek-projek masyarakat melalui usaha keras pengurusannya.

Tidak dinafikan bahawa pembayaran dividen oleh syarikat permodalan tinggi seperti TNB adalah petunjuk jelas mengenai aliran tunainya yang tinggi dan kekuatan kewangannya.

Syarikat ini juga berperanan dalam memberikan dividen tinggi secara konsisten dari tahun ke tahun, jelas mencerminkan TNB merupakan sebuah syarikat yang kukuh dan boleh dipercayai sekali gus memberi manfaat kepada pelabur, pemegang saham serta rakyat.

Pada tahun kewangan lepas, TNB mencatatkan pembayaran dividen tertinggi berjumlah RM5.69 bilion.

Bagi tarif elektriknya pula, ia terdiri daripada dua komponen — tarif asas dan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

ICPT adalah mekanisme di bawah rangka kerja Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) yang membolehkan TNB sebagai syarikat utiliti membuat perubahan, sama ada menerusi kenaikan atau pengurangan, bagi kos bahan bakar dan berkaitan penjanaan lain dalam tarif elektrik setiap enam bulan dalam bentuk rebat atau surcaj.

Suruhanjaya Tenaga sebagai pentadbir urus tenaga menentukan pengiraan dan metodologi ICPT, tertakluk kepada kelulusan kerajaan berdasarkan setiap enam bulan.

Manfaat ICPT kepada pengguna termasuklah harga elektrik yang telus dan adil, bekalan tenaga yang mencukupi, tiada gangguan dan boleh dipercayai serta boleh menggalakkan pengguna meningkatkan kecekapan tenaga.

Campuran bahan bakar penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia pada 2019 ialah 53.9 peratus arang batu, 42.3 peratus gas asli termasuk gas asli cecair (LNG), 3.2 peratus hidro dan lain-lain, dan 0.6 peratus solar.

Susulan campuran bahan bakar penjanaan tenaga di Semenanjung Malaysia, pergerakan harga minyak mentah tidak memberikan kesan secara langsung ke atas tarif elektrik.

Dalam usaha terus menyediakan tenaga kepada negara, TNB masih kekal menjadi antara 10 syarikat teratas di Bursa Malaysia serta di tempat kedua dengan permodalan pasaran berjumlah RM69.2 bilion setakat 6 Mei.

Setakat 6 Mei juga, antara pemegang sahamnya termasuk pemegang saham majoriti Khazanah Nasional Bhd yang memiliki 25.8 peratus ekuiti, Permodalan Nasional Bhd (PNB) memegang 18.1 peratus, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan 16.7 peratus, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) memiliki 6.7 peratus dan agensi kerajaan lain seperti Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera menguasai 1.2 peratus. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.