Sentiasa Pantau Rapi Situasi Banjir – Sultan Johor

JOHOR BAHRU, 22 Jun – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah agar kerajaan negeri sentiasa memantau rapi situasi banjir yang ketika ini melanda beberapa daerah di Johor.

Baginda bertitah kerajaan negeri Johor menerusi agensi-agensi perlu memastikan mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) mendapat keselesaan serta kemudahan yang secukupnya.

“Berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini, saya juga berharap pihak berkuasa serta agensi yang berkaitan membuat persediaan yang secukupnya dalam menghadapi bencana banjir.

“Saya berharap Jabatan Kesihatan Negeri Johor juga mengambil langkah berjaga-jaga serta menjalankan ujian saringan kesihatan di setiap PPS bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19,” titah baginda menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh Royal Press Office di sini, hari ini.

Dalam masa yang sama, baginda turut menasihati penduduk yang tinggal berhampiran sungai supaya sentiasa berhati-hati dan segera berpindah jika paras air mula meningkat.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah di 18 PPS melibatkan lima daerah iaitu Batu Pahat, Kluang, Muar, Pontian dan Tangkak, turut menyediakan kod pengimbas QR MySejahtera di laluan masuk.

Ia bertujuan untuk mengekang penularan wabak COVID-19, membantu rekod saringan serta memantau pergerakan keluar masuk mangsa di PPS. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.