Pemilihan Mohd Sharim, Bukti UMNO Buka Ruang Kepada Orang Muda- Hairi

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berterima kasih kepada Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepimpinan UMNO Negeri Pahang dan kepimpinan UMNO Bahagian Pekan kerana membuka ruang kepada orang muda untuk menjadi calon mewakili parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, keputusan itu sekali gus membuktikan UMNO dan BN merupakan parti yang berjiwa besar dan berfikiran terbuka dengan menerima orang muda yang mempunyai kepandaian serta berkebolehan.

“Sewajarnya UMNO dan BN melakukan transformasi kepimpinan dan pendekatan bagi memulihkan semula maruahnya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang. Selepas PRU-14, UMNO dan BN tidak boleh lagi mengetepikan dan meminggirkan suara anak muda.

“UMNO dan BN perlu berani mengetengahkan pemimpin muda yang berpotensi untuk mengembangkan idealisme mereka khususnya mendekati serta menarik golongan muda yang tidak memilih BN pada PRU-14 lalu,” katanya dalam kenyataan.

Jelas Hairi lagi, pemilihan Mohd Sharim membuktikan bahawa UMNO dan BN tidak ketandusan pemimpin untuk diketengahkan oleh parti keramat ini.

“Dengan pengalamannya sebagai Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan dan anak peneroka Felda Chini 3, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor yakin Mohd Sharim calon yang tepat untuk mewakili rakyat di tanah rancangan berkenaan,” katanya.

Justeru, kata Hairi lagi, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor yakin Mohd Sharim akan diterima semua golongan usia termasuk golongan muda yang membabitkan 56 peratus pengundi muda di DUN Chini. – UMNO ONLINE

Oleh: Amin Adnan

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.