Agong Zahir Takziah Pemergian Tokoh Sasterawan Dr Mohamed Ghazali

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tokoh sasterawan Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid atau lebih dikenali Malim Ghozali PK.

Tokoh sasterawan itu meninggal dunia semalam, pada usia 70 tahun, akibat kanser.

Menzahirkan rasa dukacita dan sedih dengan pemergian Allahyarham, Al-Sultan Abdullah berharap keluarga Allahyarham sabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu itu.

“Jasa, khidmat serta bakti Allahyarham kepada dunia penulisan sastera Melayu negara amat dihargai dan pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar pada negara,” demikian menurut hantaran akaun Instagram Istana Negara hari ini.

Allahyarham Mohamed Ghazali adalah penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada 2013 dan dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada 2014, selain dikenali di peringkat antarabangsa.

Karya Allahyarham, ‘Tree of Sorrow’ tersenarai antara 160 novel terbaik dunia oleh International IMPAC Dublin Literary Awards.

Allahyarham juga memenangi Hadiah Sastera Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) : Kumpulan Cerpen dan pernah mendeklamasikan puisi di Prague, Republik Czech; memberi syarahan di Hannibal, Amerika Syarikat dan Paris, Perancis.

Sebanyak 22 buku Allahyarham diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris dan juga bahasa Cina. – BERNAMA