Pahang Lancar Projek Rumah Rakyat Untuk Golongan Kurang Berkemampuan

PEKAN, 18 Jun – Kerajaan negeri Pahang melancarkan program Rumah Rakyat Pahang bagi membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan mempunyai kediaman sendiri, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata sumber kewangan bagi pelaksanaan projek itu diperoleh daripada Tabung Perumahan Rakyat Pahang dengan jumlah tidak melebihi RM55,000 selain sumbangan kerajaan negeri berjumlah RM10,000.

Beliau berkata setakat ini, kerajaan negeri berdasarkan keputusan pada 21 Jan lalu telah meluluskan pembinaan 98 Rumah Rakyat di seluruh Pahang, melibatkan peruntukan sebanyak RM6.37 juta.

“Projek ini bagi membantu mereka yang belum memiliki rumah atau menggantikan rumah yang mempunyai struktur tidak selamat atau tidak ekonomik untuk dibaik pulih, namun keadaan semasa bangunan itu membawa risiko keselamatan kepada penghuninya.

“Penerimanya mestilah disahkan sebagai miskin tegar atau miskin, tidak mempunyai rumah atau sudah usang dan daif selain mestilah memiliki tanah sendiri atau mendapat kelulusan pemilik lain jika berkongsi tanah,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Rakyat Pahang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Abd Rahim Muda.

Jika tanah terlibat berstatus tanah kerajaan negeri, Wan Rosdy berkata pentadbir tanah perlu mengambil tindakan untuk urusan pemberimilikan tanah sebelum permohonan Rumah Rakyat dapat diluluskan.

“Keluasan Rumah Rakyat adalah seluas 228.6 meter dan dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan keluasan ini adalah ditambah baik daripada rancangan bantuan rumah sebelum ini yang berkeluasan 201.2 meter.

“Kita berharap lebih banyak bantuan seperti ini dapat diberikan kerana kerajaan negeri komited dalam usaha membantu menyediakan rumah mampu milik kerana kami sedar kediaman selesa adalah satu keperluan,” katanya.

Wan Rosdy juga memaklumkan bahawa DUN Chini menjadi lokasi pertama pelaksanaan projek Rumah Rakyat kerana bekas Ahli Dewan Undangan Negerinya Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun adalah wakil rakyat pertama memohon projek itu dilaksanakan di kawasannya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.