KKMM Teruskan Program Info On Wheels

PEKAN, 18 Jun – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan meneruskan program penerangan pandemik wabak COVID-19, Info On Wheeks (IOW) walaupun negara sudah memasuki peringkat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, sebanyak 8,146 program IOW telah dilaksanakan di 40,822 lokasi di seluruh negara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac hingga Selasa lepas.

“Kita meneruskan program ini termasuk di zon hijau supaya rakyat terus mengambil langkah pencegahan seperti menjaga jarak sosial dan kebersihan diri walaupun jumlah kes baharu yang dilaporkan semakin berkurangan.

“Banyak sektor ekonomi sudah kembali beroperasi termasuk pengangkutan awam yang menyebabkan penting untuk kita terus memberi peringatan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sepakat@Komuniti Gugusan Felda Chini di Dewan Semai Bakti Felda Chini 5 di sini, hari ini.

Zahidi juga berterima kasih kepada jabatan dan agensi kerajaan yang turut membantu menjayakan IOW termasuk polis, tentera, dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menyentuh perkara lain, Zahidi berkata pengedaran set dekoder televisyen digital myFreeview kepada mereka yang layak menerimanya secara percuma akan mula dihantar secara berperingkat menerusi pos bermula bulan ini sehingga November ini.

Katanya, 333,964 pemohon terdiri daripada golongan B40 dan Orang Kelainan Upaya (OKU) telah disahkan layak menerima set dekoder itu.

“Kita berharap mereka dapat bersabar menunggu pengagihan set dekoder ini dan kita sedang berusaha menambahbaik kualiti liputan internet dari masa ke semasa bagi memastikan pengguna dapat menikmati siaran yang lebih baik.

“Ini adalah tanggungjawab kerajaan untuk memastikan golongan yang kurang berkemampuan dan di luar bandar tidak ketinggalan dalam aspek penerimaan informasi dan hiburan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.