Aplikasi Google Maps Bantu Penumpang Bas Rapid Rancang Perjalanan

KUALA LUMPUR, 18 Jun – Rapid Bus Sdn Bhd, anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pengendali operasi bas Rapid KL, Go KL, dan SMART Selangor, hari ini melancarkan perkongsian data melalui aplikasi Google Maps.

Diusahakan dengan kolaborasi bersama Google, aplikasi yang menggunakan data disediakan oleh Rapid Bus itu berupaya membantu pengguna perkhidmatan bas berkenaan merancang perjalanan mereka dengan lebih baik dan efisien.

Pengerusi Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata aplikasi itu membolehkan penumpang menyemak lokasi semasa bas Rapid KL untuk hampir 170 laluan bas di Lembah Klang termasuk bas perantara LRT, Go KL dan SMART Selangor yang terpilih.

“Selain perjalanan bas, perkongsian data tersebut melalui Google Maps turut menyajikan pilihan perjalanan lain seperti kombinasi perkhidmatan bas dan rel, memberikan maklumat hentian bas dan jangkaan masa perjalanan.

“Berbekalkan maklumat-maklumat ini, penumpang boleh melakukan aktiviti lain ketika menanti bas mereka menuju ke hentian,” katanya selepas melancarkan aplikasi data tersebut di Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan, hari ini.

Menurut perancangan masa depan syarikat itu, beliau berkata Rapid Bus akan meluaskan capaian aplikasi data itu meliputi bas perantara MRT, Rapid Penang, dan Rapid Kuantan.

Selain itu, Tajuddin berkata Rapid KL sebelum ini telah menerima banyak pertanyaan mengenai lokasi bas daripada pelanggannya yakni sehingga 4,865 pertanyaan bagi tempoh Januari sehingga April 2020.

Katanya lebih 60 peratus pertanyaan yang diterima daripada pelanggan bas adalah untuk mengetahui kedudukan atau kekerapan bas dan sejak 2010 pihaknya mengumumkan kedudukan bas kepada penumpang menerusi khidmat Pusat Panggilan Rapid Bus.

“Dengan data Google Maps ini, penumpang bas tidak perlu lagi merujuk Pusat Panggilan, tetapi boleh mengetahui kedudukan semasa bas Rapid kami sebelum merancang perjalanan mereka.

“Ini dapat membantu seseorang penumpang yang selama ini terpaksa menggunakan masa sejam untuk perjalanan menaiki bas Rapid kini menjimatkan 45 minit dengan data Google Maps ‘real time’ kedudukan bas,” katanya.

Ditanya adakah Rapid KL mempunyai rancangan membangunkan aplikasi sendiri, beliau berkata memang ada perancangan mengenainya dan apabila ia siap kelak, aplikasi akan memberi perkhidmatan secara menyeluruh yang menunjukkan kedudukan semasa bas, stesen dan kedai makan serta ruang maklum balas. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.