Tiada Ujian Swab Kkm Dari Rumah Ke Rumah Kecuali Di Kawasan PKPD – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 15 Jun – Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan ujian swab dari rumah ke rumah seperti tular di media sosial.

Katanya, KKM tidak pernah menjalankan saringan individu yang disyaki dijangkiti COVID-19 seperti demikian, kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Ia hanya dilakukan di kawasan PKPD, selain daripada itu tidak ada tindakan daripada KKM untuk pergi dari rumah ke rumah bagi melakukan ujian swab.

“Apa yang berlaku ini adalah kes tipu. Saya juga telah bercakap dengan KKM, mereka sendiri pun sudah buat pemeriksaan, dari segi nombor pendaftaran kereta itu sepatutnya nombor (pendaftaran) kereta Myvi, bukan di van. Jadi, van pun tipu, tindakan mereka itu adalah tipu,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, di sini, hari ini.

Tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp baru-baru ini terdapat kumpulan yang bergerak dari rumah ke rumah melakukan ujian swab atau calitan dan mendakwa diri mereka daripada KKM.

Sehubungan itu, Ismail Sabri menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan jangan mudah tertipu dan terpedaya dengan taktik pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Jadi, saya harap kepada rakyat kita supaya jangan tertipu dengan perkara-perkara seperti ini. Terlalu ramai yang mengambil kesempatan ketika COVID-19 dan PKPP ini.

“Jika didapati ada lagi kes-kes yang datang ke rumah dan mengaku dari KKM atau sebagainya dengan tujuan apa sahaja, tolong laporkan kepada pihak polis dengan segera,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata KKM telah membuat laporan polis berhubung kes tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sementara itu, Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, meminta orang ramai membantu pihak polis membanteras sindiket judi dalam talian dan nombor ekor haram yang mengambil kesempatan beroperasi ketika PKP.

“Lapor segera kepada polis dan polis akan ambil tindakan,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.