Terus Patuhi SOP Untuk Kekalkan Status Zon Hijau – MB Perlis

KANGAR, 12 Jun – Rakyat Perlis diminta terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan agar negeri itu terus kekal sebagai negeri zon hijau.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata sejak lebih dua bulan lalu tiada kes COVID-19 baharu di negeri itu dan berharap rekod itu dapat dikekalkan sekali gus meletakkan Perlis sebagai zon hijau.


“Sehingga kini kami masih dapat kekalkan 18 kes selama lebih kurang 65 hari dan tiada kes baharu direkod sehingga hari ini,” katanya kepada Bernama di Pejabat Menteri Besar, semalam.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Selepas memasuki Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apa yang penting kini adalah pematuhan terhadap SOP dan perlu wujud kesedaran untuk rakyat agar terus menjaga diri, menjaga keluarga, menjaga komuniti dan seterusnya menjaga negeri dan negara.

“Setiap individu perlu disiplin, apabila ingin keluar rumah pakai pelitup separuh muka, jarakan sosial, kebersihan diri mesti dijaga dan inilah hasil kejayaan hari ini apabila Perlis kekal sebagai negeri hijau,” katanya.

Azlan berkata kunci kejayaan negeri itu adalah hubungan dan kerjasama rapat semua petugas barisan hadapan, agensi kerajaan yang terlibat dan rakyat dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.