Agong, Permaisuri Kurnia Sumbangan Untuk Anak Yatim

KUALA LUMPUR, 12 Jun -Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengurniakan sumbangan kepada anak-anak yatim Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia.

Seri Paduka berdua berangkat tiba di rumah anak yatim itu di Jalan Maktab di sini pada 11 pagi bagi menyempurnakan Majlis Pengurniaan Sumbangan Ampun Kurnia itu.

Seramai 47 anak yatim di bawah jagaan pertubuhan itu menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan wang tunai.

Pada program yang mengikut tatacara kebiasaan baharu tanpa melibatkan kehadiran ramai itu, Seri Paduka berdua turut berkenan menyampaikan sumbangan kek kepada anak-anak yatim di pertubuhan itu.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Ini merupakan aktiviti kedua Al-Sultan Abdullah berkenan berangkat hadir, yang diadakan di luar Istana Negara, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas.

Majlis itu dianjurkan bersama oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, atas titah perkenan Al-Sultan Abdullah untuk membantu meringankan beban keperluan anak-anak yatim.

Sementara itu, seorang daripada penghuni di rumah anak yatim itu, Puteri Nur Damia Mohamad Radzi, 13, berkata dia sangat teruja apabila dapat berjumpa dengan Seri Paduka berdua secara bersemuka.

Puteri Nur Damia juga berterima kasih kepada Seri Paduka berdua yang berkenan menyumbangkan duit raya dan barangan lain kepadanya dan rakan-rakannya.

“Rasa bersyukur kerana Tuanku datang sini untuk luang masa dan tengok sendiri kediaman kami. Tuanku juga ada beri nasihat kepada kami semua supaya belajar bersungguh-sungguh,” katanya. – BERNAMA