Sekolah Dibuka 24 Jun, Libat Pelajar Peperiksaan Awam, Antarabangsa – Radzi Jidin

PUTRAJAYA, 10 Jun – Semua sekolah di seluruh negara akan dibuka semula mulai 24 Jun ini namun hanya melibatkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam dan antarabangsa yang setara pada tahun ini, kata Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Beliau berkata ini membabitkan pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.

Katanya Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah telah diedarkan ke sekolah-sekolah pada 4 Jun lepas sebagai panduan agar persiapan rapi dapat dibuat sebelum sesi persekolahan bersambung kembali.

Katanya ibu bapa dan penjaga harus memastikan kesihatan anak masing-masing sebelum menghantar mereka ke sekolah.

“Selain murid, pemeriksaan suhu badan juga dibuat terhadap guru, warga sekolah dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah. Jika suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius atau bergejala, (mereka) tidak dibenarkan memasuki kawasan sekolah,” katanya.

Bercakap pada sidang media khas perkembangan pembukaan sekolah di sini hari ini, Mohd Radzi menjelaskan meja di dalam kelas perlu disusun berselang satu meter dengan kapasiti maksimum untuk sesebuah kelas selepas mengambil kira jarakan sosial tidak melebihi 20 pelajar.

Bagaimanapun katanya kapasiti lebih tinggi dibenarkan untuk ruang yang lebih besar seperti dewan sekolah.

“Waktu rehat adalah secara berperingkat dengan makanan dan minuman akan siap dibungkus dan murid akan makan di dalam kelas masing-masing di bawah pengawasan guru,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.