Jumlah Penumpang Kenderaan Persendirian Masih Sama Seperti PKPB – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Prosedur operasi standard (SOP) menaiki kenderaan persendirian iaitu empat penumpang atau mengikut kapasiti kenderaan dengan syarat dari rumah dan keluarga yang sama, kekal walaupun ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata buat masa ini kerajaan masih menggunakan SOP itu dan akan memaklumkannya sekira terdapat perubahan.

“Setakat ini masih kekal (SOP kenderaan pesendirian) kalau ada perubahan kita akan umumkan kemudian,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk membenarkan kenderaan persendirian membawa empat penumpang dengan syarat mestilah dari rumah dan keluarga yang sama sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Berhubung dakwaan sesetengah pihak mengenai pengusaha pusat jagaan kanak-kanak yang menaikkan yuran atas alasan kos sanitasi, beliau berkata pengusaha perlu memberi penjelasan kepada ibu bapa bagi mengelakkan kekeliruan.

“Kita faham bahawa mereka perlu buat banyak perkara seperti sanitasi tempat asuhan kanak-kanak jadi saya harap mereka dapat bincang dengan ibu bapa, beri penjelasan kenapa perlu ada peningkatan kos,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai operasi khidmat penghantaran makanan sepanjang PKPP, Ismail Sabri berkata perkhidmatan berkenaan dibenarkan sehingga 12 malam.

“Operasi penghantaran makanan dilanjutkan sehingga 12 sama seperti operasi kedai makan,” katanya.

Sebelum ini, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), operasi khidmat penghantaran makanan dihadkan dari 8 pagi sehingga 8 malam.

Perkhidmatan itu kemudiannya dilanjutkan ke 10 malam sewaktu PKPB, katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.