Pelaksanaan PKPP Tumpu SOP Di Premis Perniagaan, Kawasan Awam – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 9 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menumpukan pemantauan kepada pematuhan prodesur operasi standard (SOP) di premis-premis perniagaan dan kawasan awam selaras dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pada masa sama PDRM akan menarik balik sekatan jalan raya rentas sempadan negeri.

“PDRM akan menumpukan kepada pematuhan SOP di premis-premis perniagaan dan kawasan awam, melalui pasukan petugas khas pemantauan pematuhan PKPP di daerah yang melibatkan agensi berkaitan iaitu Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam.

“Hari ini merupakan hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PDRM akan mengenakan pelan tindakan baru sepanjang PKPP yang akan bermula esok sehingga 31Ogos,” katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Beliau berkata mulai esok juga proses kuarantin wajib selama 14 hari di kediaman masing-masing akan bermula bagi rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara setelah mendapat keputusan negatif saringan COVID-19.

“Ini juga bermakna pusat kuarantin di hotel-hotel juga akan mula ditutup,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.