Keputusan Rayuan BPN Akan Diketahui Pertengahan Jun – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Keputusan rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan dikeluarkan pada pertengahan Jun ini, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Tarikh terperinci akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” katanya menerusi perkongsian Laporan Kelapan Pencapaian Prihatin – Laksana, di laman Facebook beliau, hari ini.

Secara keseluruhannya, daripada 10.6 juta penerima BPN yang diluluskan, seramai 10.04 juta penerima telah dibayar dengan jumlah bayaran sebanyak RM10.78 bilion atau 96.7 peratus sehingga 5 Jun, 2020.

Selebihnya, Tengku Zafrul berkata penerima boleh menuntut di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) sehingga 31 Disember 2020.

Bagi program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sehingga 5 Jun, sebanyak 4.1 juta permohonan telah diluluskan, iaitu peningkatan daripada 4 juta sebelum ini.

“Jumlah pembayaran ini melibatkan RM1.94 bilion sebulan,” katanya.

Sementara itu, bagi inisiatif pengurangan caruman KWSP oleh pekerja daripada 11 peratus kepada tujuh peratus, sehingga 5 Jun, lebih 5.7 juta pekerja memilih untuk meneruskan pengurangan caruman mereka.

Beliau berkata jumlah pengurangan caruman yang telah diterima ahli KWSP sehingga ini adalah sebanyak RM1.87 bilion manakala jumlah pencarum yang memilih untuk mengekalkan caruman pada kadar 11 peratus kini sebanyak 1.85 juta (berbanding 1.7 juta sebelum ini).

Bagi bayaran khas RM600 secara one-off (sekali) yang akan diberikan kepada pemandu pelancong, Tengku Zafrul berkata sehingga 5 Jun masih terdapat pembayaran tertangguh untuk 1,868 daripada 8,323 pemandu pelancong disebabkan maklumat bank yang tidak tepat.

“Mereka yang layak tetapi masih belum mendapat bayaran boleh menuntut pembayaran secara tunai di kaunter BSN mulai 15 Jun, 2020,” tambahnya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.