KWP Lancar Projek ‘Rumah Prihatin’ Di Labuan

LABUAN, 8 Jun – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan menggunakan konsep ‘Rumah Prihatin Wilayah Persekutuan’ untuk membina rumah mampu milik di sini, kata Menterinya, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata harga rumah mampu milik itu mungkin tidak sama dengan di Putrajaya atau Kuala Lumpur, tetapi ia akan disesuaikan dengan kemampuan penduduk tempatan di sini.

“Selepas melihat sendiri keadaan rakyat di sini termasuk masalah perumahan yang dihadapi oleh golongan asnaf, (saya tahu) ada keperluan mendesak bagi kami untuk melaksanakan projek rumah mampu milik yang sesuai dengan taraf kehidupan dan kemampuan rakyat.

“Saya telah bercakap dengan ketua pegawai eksekutif agensi kementerian saya, Perbadanan Labuan untuk mengenal pasti tanah yang sesuai untuk projek konsep Rumah Prihatin Wilayah Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan kit makanan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan di sini hari ini.

Beliau berkata memandangkan projek itu akan dibina atas tanah kerajaan, terdapat keperluan untuk kajian menyeluruh mengenai kos bahan binaan untuk menentukan harga yang berpatutan kepada pembeli.

“Di Kuala Lumpur atau Putrajaya, kami bina kondominium atau pembangunan strata tetapi di Labuan, mungkin kami boleh dapat kediaman bertanah atau separa terpisah atau pembangunan strata rendah,” katanya.

Annuar berkata kementerian itu sedang menyediakan kertas Kabinet untuk melancarkan projek Rumah Prihatin atas tanah kerajaan di Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang akan dijalankan oleh pemaju swasta.

“Memandangkan tanah itu tidak melibatkan kos sama sekali hanya kos pembinaan yang ditanggung oleh pemaju, harga unit rumah akan dapat dikawal dan mampu dimiliki,” kata Annuar.

Beliau berkata jika Rumah Prihatin masih tidak mampu dimiliki oleh kumpulan tertentu di sini, konsep sewa beli boleh digunakan.

“Jika kerajaan mempunyai tanah yang boleh memberi manfaat kepada rakyat, kenapa kita tidak boleh lakukan? Kerajaan tidak perlu menyimpan tanah apabila penduduk di luar sana amat memerlukan pembangunan perumahan,” katanya.

Annuar, yang dalam lawatan kerja selama tiga hari ke Labuan, berkata projek perumahan mampu milik juga dapat dilaksanakan dengan kerjasama MAIWP.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.