Portal Khas KBS Bantu Belia Dapatkan Maklumat Inisiatif, Program Kerajaan

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan portal khas bagi memudahkan golongan belia mendapatkan maklumat berhubung pelbagai program dan inisiatif yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan kepada golongan berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata laman sesawang berkenaan; http://ebelia.iyres.gov.my yang diwujudkan oleh pihak kementerian memudahkan golongan belia memperoleh maklumat berkaitan pelbagai inisiatif dan program belia yang diperkenalkan oleh 14 kementerian di bawah satu bumbung.

Reezal Merican menjelaskan portal berkenaan akan menyediakan pelbagai maklumat berkaitan peluang dan penciptaan pekerjaan termasuk keusahawanan dan ekonomi gig, peluang latihan dan kemahiran, selain peluang dana-dana dan kemudahan oleh kerajaan kepada golongan belia di negara ini.

“Sebagai langkah permulaan, sistem eBelia di bawah IYRES akan menjadi titik mula sinergi ini sebelum proses migrasi dan transformasi sepenuhnya ke dalam sistem portal baharu yang sedang dibangunkan termasuklah single sign-on ke sistem-sistem oleh agensi kerajaan yang lain.

“Hasilnya, kolaborasi KBS bersama MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) kini boleh dimanfaatkan dalam sistem eBelia ini di samping peluang pekerjaan yang disediakan melalui sistem carian pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” jelas Reezal Merican menerusi hantaran terbaharu dalam laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata pihak KBS sedang memuktamadkan pelbagai inisiatif untuk golongan belia menerusi kerjasama dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Wilayah Persekutuan.

Selain itu jelasnya, golongan belia boleh mendapatkan pelbagai maklumat berhubung inisiatif berkaitan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas dalam portal berkenaan.

“Insya-Allah, saya dan pasukan KBS Malaysia akan terus memastikan platform ini benar-benar memberi impak kepada belia dan terbuka untuk sebarang cadangan penambahbaikan,” kata Reezal Merican.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.