PENJANA: Belia Perlu Tangkas, Bangkit Ambil Peluang – Reezal Merican

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan kerajaan hari ini diharap dapat membantu golongan belia dalam menghadapi keresahan dan cabaran ekonomi susulan pandemik COVID-19.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata golongan belia perlu segera mengambil peluang daripada pelbagai inisiatif yang ditawarkan kepada mereka di bawah pelan itu.

“Kepada kumpulan belia dan anak muda yang merupakan 68 peratus daripada keseluruhan guna tenaga di negara ini, segeralah tangkas bangkit menjana semula ekonomi berbekalkan ikhtiar-ikhtiar yang telah dihamparkan ini.

“Saya pasti, negara kita akan dapat keluar daripada keresahan ekonomi dengan lebih pantas lagi,” katanya dalam kenyataan di laman Facebooknya.

Kerajaan semalam memperkenalkan PENJANA dengan tema ‘Bersama Menjana Ekonomi’ sebagai langkah segera untuk membangunkan dan merancakkan semula ekonomi negara untuk jangka masa pendek, merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion.

Reezal Merican berkata PENJANA merupakan cerminan bahawa kerajaan sentiasa prihatin, mendengar dan responsif terhadap suara rakyat, khususnya golongan belia dalam tempoh-tempoh sukar ini.

“Program insentif pengambilan pekerja, insentif peluang perantisan kepada lepasan sekolah dan graduan, elaun latihan bagi meningkatkan kemahiran termasuklah program place-and-train merupakan antara mekanisme utama dalam menangani keresahan belia seperti mana yang saya nyatakan sebelum ini.

“Begitu juga dengan dana-dana untuk melonjakkan perniagaan seperti geran padanan kepada perusahaan mikro dan PKS … semua ini disediakan dengan mengambil kira partisipasi belia dalam pelbagai segmen dan lingkungan ekonomi secara makro,” katanya.

Sementara itu, Reezal Merican berkata kementeriannya akan terus memberikan khidmat terbaik untuk golongan belia serta terbuka kepada sebarang pandangan juga cadangan.

“Teruslah memberi pandangan dan cadangan yang membina untuk kita rangkumkan dengan lebih kemas lagi dalam menghadapi cabaran COVID-19 ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.