Kerajaan Negeri Berganding Bahu Dengan Mohd Ali Makmurkan Ekonomi – KM

MELAKA, 5 Jun – Kerajaan negeri akan terus bersama-sama berganding bahu dengan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dalam memajukan, mensejahterakan kehidupan rakyat serta memakmurkan ekonomi negeri.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata berdasarkan pengetahuan dan pengalaman luas Mohd Ali dalam pentadbiran dan kepimpinan sama ada di peringkat kerajaan persekutuan serta negeri untuk terus melakar kejayaan seperti yang pernah dikecapi dalam era keagungan Kesultanan Melayu Melaka.

Beliau berkata antara tumpuan diberikan ialah mewujudkan suasana ekonomi yang kondusif, meningkatkan daya saing dan kecekapan perkhidmatan awam, merancakkan pelaburan serta memperkukuh sosioekonomi dan politik negeri.

“Sebagai Kerajaan yang masih lagi baharu, saya bagi pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri Melaka amat sedar dan insaf bahawa sesungguhnya tugas,tanggungjawab dan amanah yang digalas selaku Ketua Menteri bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya sangat mencabar terutama ketika negeri, negara serta seluruh dunia masih berhadapan dengan COVID-19.

“Bagaimanapun, saya amat yakin dan percaya dengan sokongan padu, nasihat serta panduan daripada Tuan Yang Terutama Tun, negeri Melaka mampu menempa semula kegemilangannya dalam acuan dan kerangka yang tersendiri,” katanya dalam ucapan taat setianya pada Istiadat Angkat Sumpah dan Menandatangani Surat Cara Sumpah Jawatan Yang Dipertua Negeri di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Terdahulu Mohd Ali mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka dan menandatangani surat cara sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka.

Sulaiman berkata kerajaan negeri telah dan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu di semua peringkat bagi membantu memulihkan ekonomi terutama dalam sektor pelancongan yang menjadi nadi utama yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Katanya antara langkah diambil termasuk penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Melaka bagi merangka agenda untuk meningkatkan semula pertumbuhan ekonomi negeri, menarik lebih banyak pelaburan baharu tempatan dan asing serta menambah peluang pekerjaan rakyat.

“Ia termasuk merancakkan semula sektor pelancongan dan yang paling penting memperkasa dan memayungi aspek kebajikan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

“Sektor pelancongan yang ketika ini menjadi penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri turut akan diperkasa dan produk pelancongan sedia ada akan ditambah baik,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.