Taska Persendirian Digesa Daftar Dengan KPWKM, Patuhi SOP – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 4 Jun – Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) dan pusat asuhan persendirian digesa berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa membuat gesaan itu berkata kerajaan sedar terdapat taska swasta dan rumah-rumah persendirian yang mengambil upah mengasuh anak-anak tetapi tidak berdaftar dengan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan bimbang kerana pengasuh anak-anak ini tidak mendapat sebarang latihan dan sekiranya terdapat kejadian yang tidak diingini berlaku, perkara itu adalah di luar tanggungjawab kerajaan.

“Saya menyeru kepada taska persendirian ini walaupun hanya menjaga tiga empat orang anak supaya berdaftar dengan KPWKM supaya latihan, bantuan dan dana dapat diberikan,” katanya pada sidang media harian mengenai Pergerakan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.

Beliau berkata pengasuh, taska dan pusat asuhan juga digalak memuat turun Panduan Pencegahan Penularan COVID-19, Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-Kanak.

Beliau berkata panduan SOP itu boleh diperoleh melalui laman web KPWKM dan JKM. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.