Syarikat Produksi Perlu Lantik Penyelia Keselamatan Pantau SOP – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 3 Jun – Syarikat produksi yang dibenarkan beroperasi bermula 10 Jun ini dan ingin menjalani penggambaran filem, iklan, serta drama, perlu melantik seorang penyelia keselamatan khusus, untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) krew dan pelakon.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun, pelakon dan krew syarikat yang berkenaan, tidak perlu menjalani ujian swab.

“Ujian swab hanya perlu apabila timbul isu positif COVID-19 di kawasan terlibat. Jadi kalau tidak ada kluster dalam penggambaran filem, tidak perlu buat ujian swab secara wajib.

“Bagaimanpun, demi keselamatan mereka, ujian swab secara sukarela untuk krew dan pelakon, kita alu-alukan,” katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi pendandan rambut pula, kerajaan telah menetapkan SOP khusus dengan mewajibkan mereka memakai pelindung muka dan sarung tangan.

“Peralatan (dandanan) yang digunakan juga mesti khusus untuk setiap individu dan tidak boleh berkongsi… berbeza bagi setiap artis jadi, tiada percampuran daripada segi alatan persolekan,” katanya.

Ditanya mengenai pergerakan rentas negeri bagi urusan pendaftaran perkahwinan bagi rakyat Malaysia yang bukan Islam, Ismail Sabri berkata perkara itu dibenarkan.

Tegasnya, kerajaan telah memberi kebenaran bagi yang bukan Islam untuk mendaftar perkahwinan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.

“Cuma jumlah yang hadir (ketika pendaftaran) hanya empat orang iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan dan dua saksi. Jadi memang kerajaan benarkan,” katanya lagi.

Ditanya sama ada guru sudah mula bertugas, Ismail Sabri berkata, sekolah masih lagi bercuti dan belum dibuka.

“Oleh itu Kementerian Pendidikan Malaysia masih belum mengeluarkan sebarang arahan untuk guru bertugas. Tidak arahan ada setakat ini.

“Yang ada hanyalah anggota khidmat pengurusan seperti kerani dan sebagainya, yang termasuk dalam kakitangan awam. Mereka sudah mula bertugas,” katanya lagi. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.