TNB Tidak Kenakan Caj Berlebihan Pada Bil Semasa PKP

PUTRAJAYA, 2 Jun – Tenaga Nasional Bhd (TNB) tidak mengenakan caj berlebihan kepada pengguna bagi pengiraan bil anggaran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pemberhentian semua aktiviti bacaan meter mulai 20 Mac hingga 14 Mei.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pihak TNB ketika mengadakan pertemuan dengannya hari ini menjelaskan mengenai kaedah pengiraan bil elektrik yang diguna pakai sepanjang tempoh tersebut.

Mekanisme pengebilan itu juga telah disemak dan dipersetujui oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) yang turut hadir dalam pertemuan tersebut, katanya.

“TNB memaklumkan sekiranya terdapat lebihan bayaran, ia akan dikredit atau dipulangkan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi meringankan beban kewangan pelanggan yang terkesan berikutan penularan wabak COVID-19, Shamsul Anuar berkata pihak TNB telah bersetuju untuk Perkenalkan Pelan Bayaran Mudah Bil Elektrik dari tarikh penerimaan bil sebenar sehingga Disember 2020.

“Melalui pelan ini, pengguna-pengguna elektrik boleh membuat bayaran bil elektrik bagi penggunaan elektrik sepanjang tempoh PKP secara ansuran sehingga Disember 2020,” katanya.

TNB, katanya turut memaklumkan bahawa tiada sebarang aktiviti pemotongan bekalan elektrik akan dilakukan sehingga 31 Julai 2020 sekiranya pengguna elektrik lewat membayar bil elektrik mereka.

Shamsul Anuar dalam pada itu berkata sehingga 28 Mei, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM200 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk memberi diskaun kepada pengguna elektrik di Semenanjung.

“Daripada jumlah tersebut, RM149 juta telah dibelanjakan bagi pemberian diskaun kepada 7.6 juta pengguna rumah kediaman manakala bakinya kepada pengguna-pengguna komersial dan industri,” katanya.

Beliau berkata pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai mekanisme pengebilan sepanjang tempoh PKP di Kedai Tenaga di seluruh negara atau menghubungi talian TNB Careline 1-300-88-5454 yang beroperasi setiap hari (8 pagi hingga 5 petang) dan saluran digital Facebook TNB Careline.

“Bagi pengguna masih tidak berpuas hati, mereka boleh membuat aduan secara terus kepada Suruhanjaya Tenaga melalui Sistem eAduan (https://bit.ly/eaduanST), talian telefon 03-8870 8800 atau e-mel [email protected],” katanya.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.