Jumlah Penerima BPN 10.77 Juta, Peruntukan Sebanyak RM11.5 Bilion – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 2 Jun- Jumlah penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) daripada kumpulan pertama hingga ketiga dianggarkan seramai 10.77 juta, melibatkan peruntukan sebanyak RM11.5 bilion pada akhir Jun, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Ini merupakan peruntukan tambahan sebanyak RM1.5 bilion,” katanya semasa membentangkan Laporan Ketujuh Pencapaian Prihatin-Laksana hari ini.

Beliau berkata sehingga 31 Mei, status pencapaian bagi Fasa Pertama dan Kedua dalam kumpulan pertama BPN sebanyak 96.5 peratus, dan dalam Fasa Pertama, seramai 7.93 juta penerima telah menerima bayaran berjumlah RM5.56 bilion.

“Bagi Fasa Kedua, seramai 7.90 juta penerima telah menerima bayaran berjumlah RM3.55 bilion,” katanya.

Bagi kumpulan kedua penerima BPN yang diumumkan pada 9 Mei lepas, Tengku Zafrul berkata jumlahnya sebanyak 2.3 juta penerima.

“Daripada jumlah ini, sehingga 31 Mei, seramai 2.08 juta penerima telah menerima bantuan BPN yang dibuat secara sekali gus berjumlah RM1.57 bilion,” katanya.

Bagi kumpulan ketiga iaitu mereka yang membuat rayuan antara 11 dan 31 Mei, beliau berkata sebanyak 170,000 rayuan telah diterima dan akan disemak secara manual.

“Keputusan akan diumumkan pada pertengahan Jun dan bayaran sekali gus bermula pada akhir Jun,” katanya.

Mengenai program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tengku Zafrul berkata setakat 31 Mei, sebanyak empat juta permohonan telah diluluskan, meningkat daripada 3.9 juta sebelum ini.

“Jumlah pembayaran ini melibatkan RM1.9 bilion sebulan,” katanya.

Bagi langkah pengurangan caruman KWSP oleh pekerja kepada tujuh peratus daripada 11 peratus, beliau berkata jumlah pengurangan caruman yang dianggarkan akan diterima oleh ahli KWSP untuk bulan Mei adalah RM895 juta.

“Sehingga 31 Mei, kerajaan mendapati semakin ramai pekerja membuat pilihan sendiri untuk mengekalkan caruman mereka pada kadar 11 peratus, iaitu seramai 1.7 juta, atau kira-kira 23 peratus daripada pencarum KWSP berbanding 1.5 juta sebelum ini,” katanya.

Bagi bayaran khas RM600 secara ‘one-off’ yang akan diberikan kepada pemandu pelancong, Tengku Zafrul berkata sehingga 31 Mei, seramai 6,470 pemandu pelancong telah menerima bayaran tersebut berjumlah RM3.9 juta.

Bagi pemandu e-hailing, katanya setakat 31 Mei, kerajaan telah menyalurkan bayaran bantuan khas sebanyak RM34 juta melalui e-dompet kepada 68,336 penerima.

Beliau berkata pembayaran untuk 8,300 pemandu e-hailing tambahan sedang diproses.

Mengenai 30,000 pemandu teksi yang mengadu tidak menerima bantuan khas kerana kad pemandu teksi mereka telah tamat tempoh sah laku, katanya pada 23 Mei lepas, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan bahawa bayaran khas ini akan dipanjangkan kepada mereka dengan syarat kad pemandu diperbaharui dan mereka diberi tempoh sehingga 1 Julai.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.