Agong, Permaisuri Zahirkan Selamat Hari Gawai

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan Selamat Hari Gawai kepada semua yang menyambut perayaan Gawai.

Seri Paduka berdua bertitah : “Gayu Guru Gerai Nyamai. Happy Gawai to all our friends in Sarawak, we wish you a wonderful celebration, filled with happiness, prosperity and peace (Selamat Hari Gawai kepada semua rakan di Sarawak, kami mengucapkan selamat menyambut perayaan yang indah, penuh dengan kebahagiaan, kemakmuran dan keamanan),” menerusi hantaran akaun Instagram Istana Negara hari ini.

Hari Gawai disambut setiap 1 Jun oleh majoriti masyarakat di Bumi Kenyalang, antaranya kaum Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan lain-lain sebagai tanda tamatnya musim menuai padi.

Bagaimanapun, Hari Gawai tahun ini disambut dalam suasana berbeza kerana negara masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam usaha untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Tahun ini hanya ahli keluarga dalam jumlah yang kecil dibenarkan berkumpul meraikan sambutan Gawai tanpa tradisi ‘Ngabang’ atau ziarah-menziarahi, berbanding normal dahulu bagi penduduk kampung atau rumah panjang berkumpul bersama sanak saudara bagi meraikannya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.