Sambut Gawai Dayak Secara Sederhana, Patuhi PKPB Putuskan Rantaian COVID-19

PUTRAJAYA, 31 Mei – Sambutan Gawai Dayak kali ini yang agak sederhana mengikut tatacara Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan yang jauh tidak dapat pulang ke kampung halaman meraikan bersama keluarga merupakan pengorbanan serta sokongan kepada usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian COVID-19.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata sambutan kali ini berbeza kerana lazimnya ia disambut dengan meriah setelah musim menuai sebagai tanda kesyukuran dapat menikmati hasil usaha tanaman padi dan kejayaan mengharungi cabaran dengan penuh ketabahan.

Katanya, biarpun berbeza amalan budaya dan tinggal berjauhan, namun sambutan perayaan itu tetap diraikan bersama masyarakat Malaysia sebagai cara untuk menghormati tradisi yang dipelihara sejak turun-temurun, dan diterjemahkan dalam konteks masyarakat berbilang budaya yang saling hormat-menghormati demi penyatupaduan nasional.

“Saya dengan berbesar hati ingin mengucapkan Selamat Gawai Dayak, Gayu Guru Gerai Nyamai Lantang Senang Nguan Menua kepada semua yang menyambut perayaan ini,” katanya. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.