PBT Berhak Tutup Taman Rekreasi Jika Ada Pelanggaran SOP

PUTRAJAYA, 29 Mei – Pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai hak untuk menutup kawasan rekreasi dan taman awam sekiranya mendapati ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) jelas menggariskan aktiviti perkumpulan ramai termasuk dalam senarai aktiviti terlarang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kuasa menutup itu seperti Tasik Titiwangsa adalah hak PBT untuk mengambil tindakan menutup apabila melihat bahawa SOP telah dilanggari kerana berkumpul lebih daripada sepatutnya.

“Jadi, itu saya serahkan kepada PBT kalau di Kuala Lumpur, sudah tentulah DBKL yang boleh membuat keputusan, kalau ada tempat lain pun terserah kepada PBT masing-masing untuk membuat keputusan menutup atau tidak,” katanya pada sidang media harian perkembangan PKPB hari ini.

Semalam, DBKL menerusi hantaran Facebooknya memaklumkan Taman Tasik Titiwangsa di sini, ditutup sepenuhnya kepada awam bermula semalam, sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Ia bertujuan mengelak penularan wabak COVID-19 ekoran kehadiran ramai pengunjung ke taman tersebut.

Ismail Sabri berkata setakat semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 114 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPB. 

“Daripada jumlah itu, seramai 86 individu direman manakala 28 individu dijamin. 

“PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 433 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan PKPB namun tiada kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri,” katanya. 

Beliau berkata sebanyak 114 kompaun dikeluarkan di lapangan dengan 108 di sekatan jalan raya. 

Sementara itu, Ismail Sabri berkata keputusan untuk kembali membenarkan suami isteri hujung minggu untuk merentas negeri hanya akan dibuat sebelum PKPB tamat pada 9 Jun ini. 

— LAGI 

 

PKPB-ISMAIL SABRI (PBT) 3 PUTRAJAYA 

 

Beliau berkata pihaknya memahami situasi yang dialami golongan berkenaan dan menerima permohonan untuk membenarkan mereka merentas negeri hampir setiap hari. 

“InsyaAllah, kita akan tengok perkara ini dan jika kita rasa kita akan boleh benarkannya, saya akan umumkan tetapi tarikh tunggu sementara,” katanya.

Mengenai kebenaran merentas negeri bagi pelajar yang mendapat panggilan temu duga di institusi pengajian tinggi (IPT), Ismail Sabri berkata perkara itu masih tidak dibenarkan dan pelajar terbabit boleh ditemu duga secara dalam talian.

“Perkara ini telah pun dilaksanakan sebenarnya. Universiti sudah menjalankan temu duga secara dalam talian sejak bulan April lagi.

“Mungkin ada persoalan mengenai kawasan yang tiada talian internet, universiti telah membenarkan pelajar merakam video menggunakan telefon bimbit dan hantar kepada universiti,” jelasnya.

— LAGI 

 

PKPB-ISMAIL SABRI (PBT) 4 (AKHIR) PUTRAJAYA 

 

Sementara itu, beliau berkata proses penghantaran pulang pelajar-pelajar IPT terus dilaksanakan dengan 287 orang lagi telah pulang ke Kota Kinabalu, Sabah melalui satu penerbangan dari Kuala Lumpur semalam.

“Hari ini, seramai 1,193 pelajar dijadualkan untuk dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing,” katanya.

Ismail Sabri berkata Kementerian Pengajian Tinggi telah memastikan semua pelajar terbabit menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dibenarkan pulang.– BERNAMA