Kadar Penggunaan Elektrik Kediaman Naik 23 Peratus Sepanjang PKP

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Kadar penggunaan elektrik dalam sektor kediaman meningkat kira-kira 23 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding penurunan 33 peratus penggunaan elektrik secara keseluruhannya di Semenanjung, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata langkah kerajaan menutup semua premis perniagaan dan menghentikan aktiviti ekonomi menyebabkan berlaku penurunan penggunaan elektrik di Semenanjung serta di Sabah (30 peratus) dan Sarawak (20 peratus). 

Katanya penurunan mendadak paling ketara ialah di pusat-pusat komersial seperti kompleks perniagaan, pusat beli-belah dan hotel, antara 31 dan 47 peratus.

“Bagaimanapun, peningkatan (sektor kediaman) sekitar 23 peratus ini, mungkin bermakna orang (ramai) duduk di rumah mengikut arahan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu program temu bual di TV3 baru-baru ini.

Beliau berkata sektor-sektor yang mengalami penurunan kadar penggunaan elektrik akan mengambil masa untuk pulih terutamanya sektor industri dan sektor lain yang aktivitinya dihentikan seketika semasa tempoh PKP.

Namun demikian, katanya terdapat sektor yang menunjukkan pemulihan yang lebih cepat antaranya sektor kesihatan, komunikasi dan makanan.

Menyedari penularan wabak COVID-19 memberi impak yang besar kepada rakyat, katanya kerajaan telah memperkenalkan beberapa pakej rangsangan ekonomi termasuk diskaun elektrik berperingkat antara dua hingga 50 peratus yang diberikan kepada 7.5 juta pengguna kediaman di Semenanjung.

Selain pengguna kediaman, katanya pengguna sektor lain yang terjejas turut menerima manfaat daripada pemberian diskaun elektrik tersebut.

Beliau berkata sebanyak RM569 juta daripada peruntukan Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dan TNB sendiri dibelanjakan untuk lebih 9 juta pengguna di Semenanjung untuk tujuan itu.

Shamsul berkata sebagai langkah tambahan, kerajaan bersama TNB telah membuat keputusan bahawa tiada pemotongan elektrik sehingga 31 Julai ini, selain memperkenalkan pelan bayaran mudah untuk pengguna kediaman sehingga Disember serta tidak mengenakan surcaj lewat bayaran sehingga 30 September ini.

Mengenai pelarasan bil elektrik berikutan pengeluaran bil sebenar selepas bil anggaran diberikan sepanjang tempoh PKP, katanya kementerian dan TNB akan memberikan yang terbaik kepada rakyat serta memastikan rakyat tidak menerima caj yang tidak berpatutan.

Memberi contoh, katanya jika pengguna menerima bil berjumlah sebanyak RM73.32 untuk kegunaan 280 kilowatt jam (kWJ) elektrik pada Februari, jumlah tersebut digunakan sebagai bil anggaran untuk Mac, April dan Mei. 

“Katakan bacaan sebenar pada Jun adalah 1,400 kWJ untuk tempoh empat bulan dari Mac hingga Jun, bacaan sebenar pada bulan Jun bukan dikira berdasarkan blok tarif pada bulan Jun, tetapi dibahagikan kepada empat bulan secara purata supaya rakyat tidak dikenakan caj yang tidak berpatutan,” katanya. 

Beliau berkata disebabkan pembahagian secara purata untuk tempoh empat bulan, penggunaan setiap bulan hanyalah sebanyak 350 kWJ dan bil yang perlu dibayar adalah sebanyak RM102.80 sebulan.

“Oleh itu, bil untuk empat bulan adalah sebanyak RM411.20 sahaja berbanding RM681 tanpa kaedah ini,” katanya, yang turut menasihatkan pengguna untuk merujuk laman web https://www.tnb.com.my/prihatin atau perkhidmatan pelanggan TNB.

“Kita akan membantu sebaik mungkin. Jika ada kekeliruan boleh menghubungi TNB atau melayari laman web yang disediakan,” katanya.   
– BERNAMA