Penggabungan UMT-UniSZA Tidak Diteruskan – Menteri Pengajian Tinggi

PUTRAJAYA, 22 Mei – Rancangan penggabungan antara Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tidak akan diteruskan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata keputusan mesyuarat jemaah menteri itu dibuat setelah mengambil kira beberapa faktor dan cabaran semasa.

Antaranya perbezaan fokus tujahan yang ketara, penyelarasan fakulti akademik dan institusi penyelidikan sedia ada, dan tahap ketersediaan warga kedua-dua buah universiti itu dalam membentuk satu identiti tersendiri bagi universiti baharu, katanya.

“Penggabungan UMT dan UniSZA juga akan memadamkan kejayaan yang telah dicapai dalam mencipta identiti dan mengembangkan fokus tujahan masing-masing hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Noraini berkata penggabungan tersebut turut dijangka melibatkan kos yang tinggi.

Beliau berkata kementerian mengambil serius pandangan setiap warga universiti dalam melaksanakan penggabungan tersebut dan telah meneliti implikasi jika penggabungan itu diteruskan terutamanya terhadap pembangunan pelajar bagi kedua-dua universiti. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.