COVID-19: 78 Kes Baharu, 63 Pulih, Satu Kematian – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 22 Mei – Sebanyak 78 kes baharu positif COVID-19 direkod hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 7,137 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,163 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada 78 kes baharu yang dilaporkan, 25 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala 53 kes adalah penularan tempatan.

“Daripada 53 kes penularan tempatan itu, 40 kes adalah bukan warga Malaysia dengan 25 kes telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur,”  katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19, di sini, hari ini.

Beliau berkata terdapat 63 kes pulih daripada COVID-19 pada hari ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan discaj dari wad adalah 5,859 kes (82.1 peratus).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat satu lagi kes kematian dicatat menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia sebanyak 115 kes atau 1.61 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.