Perlis Lulus Belia 18 Tahun Boleh Mengundi, Jadi Calon Pilihan Raya

KANGAR, 21 Mei – Perlis menjadi negeri kedua selepas Sabah menurunkan had usia mengundi dan calon pilihan raya daripada 21 tahun kepada 18 tahun selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis meluluskan Rang Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis (Pindaan 2020), hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, berkata Rang Undang-Undang itu diluluskan selepas mendapat sokongan 14 daripada 15 ahli dewan kecuali Datuk Ismail Kassim (BN-Tambun Tulang) yang tidak hadir.

Ketika sesi penggulungan usul tersebut, Azlan berkata beliau percaya bahawa calon pilihan raya berusia 18 tahun layak bertanding walaupun ada ahli dewan menyuarakan sedikit kebimbangan dari segi kematangan calon.

“Kerajaan perlu ada satu mekanisme yang membolehkan mereka diberi peluang untuk matang dengan lebih cepat agar apabila dipilih sebagai calon, mereka ini dapat memberikan sumbangan, idea dan sebagainya kepada masyarakat,” katanya.

Pada Julai tahun lalu, Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had usia minimum mengundi dan menjadi calon pilihan raya daripada 21 ke 18 tahun. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.