Sambut Aidilfitri Mengikut Lunas Hukum Syarak – Sultan Mizan

KUALA TERENGGANU, 20 Mei – Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan rakyat di negeri ini supaya menyambut Aidilfitri mengikut lunas yang ditetapkan syarak, agar amal ibadat yang dilakukan sepanjang Ramadan menjadi lengkap dan sempurna.

Baginda bertitah rakyat perlu memahami bahawa matlamat hari raya bukan semata-mata hari yang disambut dengan kegembiraan dan hidangan pelbagai makanan tetapi ia sebenarnya mengajak umat Islam kembali mengingati Allah dan terus mengamalkan sifat kemurahan hati serta mengeratkan silaturahim.

“Di kesempatan ini, beta dan Sułtanah mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri tahun 1441 Hijrah bersamaan 2020 Masihi. Semoga sambutan hari raya tahun ini memberi seribu makna dan pengajaran kepada kita lebih-lebih lagi sambutan tahun ini amat berbeza dari tahun-tahun sebelumnya disebabkan wabak COVID-19 yang masih melanda negara kita khususnya dan dunia amnya, yang belum pasti bila ia akan berakhir.

“Solat sunat hari raya di masjid-masjid dan surau-surau tidak dibenarkan, aktiviti ziarah-menziarahi dan kunjung-mengunjung dihadkan, tiada lagi bersalam-salaman sesama kita, tiada rumah terbuka yang menghidangkan juadah pelbagai rasa dan warna. Sambutan hari raya tahun ini akan sentiasa menjadi ingatan kepada kita semua,” titah baginda dalam perutusan khas sempena sambutan Aidilfitri, yang bakal menjelang.

Menyatakan bahawa normal baharu bukanlah alasan untuk rakyat tidak meraikan Aidilfitri kerana ia adalah hari kebesaran umat Islam, baginda menasihati rakyat agar menghindari diri daripada melakukan perkara-perkara dilarang termasuk pembaziran dan bermewah-mewahan.

Baginda juga mengingatkan supaya rakyat tidak lupa kepada saudara-mara dan jiran tetangga terdekat yang kemungkinan terjejas dengan wabak COVID-19 supaya tampil membantu dan berkongsi rezeki.

“Pada masa sama, jangan kita lupakan pengorbanan yang dilakukan oleh barisan hadapan yang bekerja membendung wabak COVID-19 daripada terus merebak. Ketika kita semua bergembira, mereka terus melaksanakan pelbagai tugas penting untuk kita.

“Beta difahamkan di Terengganu, atas khidmat yang diberikan oleh barisan hadapan dan kepatuhan rakyat jelata kepada arahan pihak berkuasa, wabak ini dapat dikawal sepenuhnya. Justeru, kepada barisan hadapan dan keluarga mereka, beta dan Sultanah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih,” titah baginda.

Sultan Mizan turut menasihati rakyat agar menjaga kebersihan diri, terus berada di rumah, keluar apabila perlu sahaja dan sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

“Sambutlah Aidilfitri dalam suasana gembira dan dalam semangat bersyukur ke hadrat Ilahi. Perbanyakkanlah takbir dan tahmid di malam 1 Syawal nanti, juga lakukannya di pagi 1 Syawal sebelum solat sunat Aidilfitri bersama keluarga di rumah masing-masing, moga-moga ia menjadi asbab kepada terangkatnya musibah wabak ini daripada kita semua,” titah baginda.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.