COVID-19 : Jumlah Kes Baharu 37, Pulih 31 Dan 1 Kematian – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 19 Mei – Terdapat 37 lagi kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 6,978 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,218 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ingin dimaklumkan daripada 37 kes baharu yang dilaporkan, dua (2) kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 35 kes adalah penularan tempatan di mana 22 kes adalah bukan warganegara Malaysia,” katanya dalam sidang media harian di sini, hari ini.

Selain itu, sebanyak 31 kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan discaj daripada wad direkodkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kes pulih daripada wabak itu kini mencapai angka 80.9 peratus, daripada jumlah keseluruhan kes.

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj dari wad adalah sebanyak 5,646 kes.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 114 kes atau 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Kes kematian itu membabitkan kes ke-6942 yang merupakan wanita tempatan berusia 77 tahun, mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit barah hati, yang telah dirawat di sebuah pusat perubatan di Pahang, dan disahkan meninggal dunia pada pukul 3.09 pagi semalam (18 Mei).

Beliau berkata sehingga kini juga terdapat 11 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, enam kes memerlukan bantuan pernafasan.

Berhubung prosedur operasi standard (SOP) semasa membeli-belah menjelang musim perayaan ini, beliau berkata pihaknya bimbang berikutan masih terdapat segelintir masyarakat yang didapati tidak acuh dan secara terang-terangan melanggar SOP yang telah ditetapkan.

“Harus diingati bahawa walaupun jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan semakin menurun, namun masih terdapat bahaya jangkitan COVID-19 dalam masyarakat. Oleh itu, kita mesti menjaga diri kita, keluarga kita dan juga komuniti kita daripada jangkitan COVID-19,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengelakkan daripada aktiviti membeli-belah di tempat-tempat yang sesak dan sempit, di mana jarakan sosial sukar diamalkan. BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.