Sultan Selangor Titah Umat Islam Ubahsuai Amalan Ketika Sambut Aidilfitri Mengikut Normal Baharu

SHAH ALAM, 18 Mei – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan umat Islam supaya mengubahsuai buat sementara amalan yang menjadi kebiasaan ketika menyambut Aidilfitri tahun ini dengan mengikut normal baharu.

Titah baginda, amalan kunjung-mengunjung dan salam-bersalaman dilihat tidak sesuai dilakukan ketika negara masih berdepan wabak COVID-19 bagi mengelakkan jangkitan terus menular dalam kalangan masyarakat.

“Budaya balik kampung khususnya yang memerlukan perjalanan merentas negeri harus dielakkan. Jangan berkumpul atau anjurkan majlis rumah terbuka kerana ia hanya memungkinkan wujudnya kluster baharu jangkitan COVID-19.

“Meskipun statistik kes baharu COVID-19 di Selangor semakin menunjukkan penurunan, namun kita harus terus waspada dan mengambil langkah berjaga-jaga,” titah baginda dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 1441 Hijrah hari ini.

Pada masa sama, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan rakyat supaya menjauhi perbuatan yang boleh mendatangkan dosa seperti menyebarkan fitnah serta berita palsu kerana ia akan memberi kesan tidak elok kepada masyarakat.

Baginda juga menyeru orang Melayu supaya terus bersatu-padu, usah bertelagah dan jangan mengadu domba antara satu sama lain demi mengelakkan perpecahan.

“Aidilfitri tahun ini kita sambut dalam suasana yang amat berbeza iaitu ketika umat Islam seluruh dunia diduga dengan penularan wabak COVID-19. Namun, apa yang penting, rakyat mesti bersatu bagi memastikan wabak ini dapat dikawal dan ekonomi negara terus kukuh,” titah baginda.

Dalam perutusan sama, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada umat Islam di seluruh negara.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.