PKPB: Lebih 1,000 Kenderaan Cuba Rentas Negeri Diarah Berpatah Balik

PUTRAJAYA, 18 Mei – Sebanyak 1,175 kenderaan dikesan cuba merentas negeri diarah berpatah balik semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk melupakan hasrat merentas negeri untuk balik kampung kerana ia sudah tentu menyusahkan diri sendiri apabila diarahkan untuk berpatah balik.

“Ini menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia berdegil untuk balik kampung ..semalam juga sebanyak 1,175 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh PDRM.

“Walaupun pelbagai nasihat dikeluarkan dan pihak polis mengarahkan untuk patah balik dan memberi nasihat,” katanya dalam sidang media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hari ini.

Dua hari lepas, sebanyak 1,248 kenderaan yang cuba merentas negeri telah diarah berpatah balik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, ditanya mengenai dapatan soal selidik oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), beliau berkata lebih 70 peratus daripada 215,712 responden bersetuju meraikan Hari Raya Pertama bersama ahli keluarga di rumah yang sama sahaja. 

 

“Kalau inilah trend dan pandangan orang ramai, maknanya saya tak rasa bimbang sangatlah. Kerana 74 peratus tak mahu membuka rumah mereka untuk Aidilfitri dan hanya keluarga di dalam rumah sahaja. 

 

“Itulah harapan daripada kerajaan, walaupun kerajaan benarkan 20 orang (berkunjung) untuk satu rumah. Kalau semua buat macam ini….kita boleh putuskan rantaian COVID-19 kerana ramai yang takut wujud kluster balik kampung,” katanya. 

 

Ismail Sabri berkata sebanyak 20 peratus responden bersetuju untuk meraikan Hari Raya Pertama bersama sanak saudara terdekat, manakala sebanyak enam peratus bersetuju meraikan Hari Raya Pertama bersama sanak saudara dan jiran tetangga. 

 

Beliau turut menyatakan PDRM telah mengadakan 148 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 156,096 kenderaan.

 

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kesihatan (KKM) dan MKN sekiranya perlu meminda undang-undang di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), yang membolehkan tindakan diambil terhadap ibu bapa dan penjaga yang masih berdegil membawa kanak-kanak di bawah usia 12 tahun ke tempat awam.

 

“Kita dengar masih ramai bawa anak-anak kecil ke shopping-shopping complex. Perkara ini melibatkan perundangan. Kalau nak ambil tindakan kepada ibu bapa mereka, mesti ada  dalam undang-undang ataupun peraturan di bawah Akta 342,” katanya.

 

Ismail Sabri juga berkata Sabtu lepas, Bilik Gerakan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah memeriksa sebanyak 120 tapak binaan dan mendapati 15 tapak binaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, lapan tapak binaan tidak mematuhi SOP dan satu tapak binaan diarah tutup manakala 96 tapak binaan didapati tidak beroperasi.

 

“Jumlah kumulatif tapak binaan yang telah diperiksa adalah 4,183, dengan 425 tapak mematuhi SOP, 150 tapak tidak patuh SOP dan telah diberi amaran dan lima tapak binaan telah diarahkan tutup atas kesalahan melanggar SOP,” katanya sambil menambah pemeriksaan juga mendapati 3,603 tapak binaan tidak beroperasi.- BERNAMA

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.