Pengurusan Aduan Awam KPI Ahli Majlis PBT Melaka – Ketua Menteri

MELAKA, 18 Mei – Pengurusan aduan awam yang berkesan dan cepat adalah antara Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan Kerajaan Negeri Melaka bagi mengukur prestasi kerja ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar mereka dapat melaksanakan peranan dengan baik serta sempurna.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata KPI itu turut mengambil kira amalan turun padang untuk melihat keadaan sebenar serta memahami keperluan penduduk di kawasan masing-masing.

“Ahli majlis berperanan bagi menyalur dan menyelesaikan aduan awam yang terletak di bawah kuasa PBT serta dikehendaki membentangkan Laporan Aduan Awam Bulanan mengikut kawasan beserta status terkini aduan berkenaan.

“Ahli majlis diharapkan dapat memberi sepenuh komitmen kepada tugasan baharu ini dengan membantu Datuk Bandar serta semua warga kerja PBT dalam melaksanakan segala gerak kerja dan agenda perancangan yang sedang atau bakal dilaksanakan nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 22 individu mengangkat sumpah sebagai ahli majlis MBMB, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa negeri Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu.

Sulaiman berkata, ahli majlis yang dilantik diharap memainkan peranan sebagai perantara dan pemudah cara antara PBT dan masyarakat di negeri ini sekali gus mengangkat martabat PBT bertunjangkan komitmen yang berintegriti, dinamik dan prihatin.

“Jika ada sebarang masalah atau apa sahaja isu yang melibatkan rakyat, ahli majlis perlulah memainkan peranan secara proaktif, berhemah dan penuh bijaksana.

“Sebarang masalah yang dihadapi rakyat dan masyarakat setempat mesti dapat diselesaikan dalam tempoh yang munasabah selaras dengan penekanan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan saya yang mahu segala denyut nadi rakyat didengari dan diambil tindakan penyelesaian yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, ahli majlis juga perlu peka dan mampu menguasai kemahiran teknologi moden ini termasuk penggunaan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter, Whatapps dan Telegram dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan lebih mudah.

Kemahiran teknologi itu juga bagi membantu mereka memantau dan seterusnya menyelesaikan segala aduan, masalah, isu mahu pun cadangan yang dibangkitkan rakyat sama ada di peringkat kerajaan negeri atau PBT.

Beliau berkata, agenda kebersihan dan keceriaan juga menjadi aspek penting dalam penilaian KPI ahli majlis di empat PBT di negeri ini bagi mengembalikan semula status negeri dan Bandaraya Melaka sebagai sebuah negeri dan bandaraya terbersih di negara ini.

Selain MBMB, tiga lagi PBT di Melaka ialah Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.