Agong Zahir Ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam di negara ini.

Dalam Titah Diraja semasa merasmikan pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini, Seri Paduka turut mengucapkan selamat berpuasa dan mengingatkan umat Islam supaya menunaikan salah satu rukun Islam iaitu membayar zakat.

“Teruskan amalan ibadah dan jangan lupa bayar zakat, selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin ikhlas dari beta, Raja Permaisuri Agong dan keluarga,” titah baginda.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan agar rakyat terus menjaga kesihatan diri, keluarga dan persekitaran setempat selain menghindari daripada berhimpun secara ramai dan mengamalkan penjarakan sosial.

“Mudah-mudahan Malaysia akan berjaya menangani pandemik COVID-19 ini dengan jayanya. Mengakhiri titah, beta dan Raja Permaisuri Agong berdoa semoga Malaysia serta rakyatnya terus diberkati dan dianugerahkan Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindunganNya,” titah Yang di-Pertuan Agong.- BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.